KOLEKSI ARTIKEL BERITA
Mempelai Cina Pilih Adat Melayu
Tarikh: 14-10-2018
Alex Yong dan isterinya, Ming Lee bergambar bersama ibu bapa masing-masing ketika persandingan yang mengikut adat Melayu, semalam. – Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
KUALA LUMPUR: Keunikan perkahwinan Melayu menjadi pilihan pasangan pengantin berbangsa Cina untuk mengabadikan konsep itu pada majlis bahagia mereka, sekali gus menyemarakkan nilai muafakat masyarakat majmuk negara ini.
Pengantin berkenaan, Alex Yong Yee Tuck, 32, dan pasangannya, Mini Goh Ming Lee, 31, anggun memakai busana songket, diraikan dengan nasi ‘lauk’ Melayu, roti jala, bihun goreng, kuah lodeh dan aneka juadah lain, selain merasai sendiri adat merenjis.
Bapa pengantin perempuan, Datuk Goh Hin San, berkata keinginan menantunya mengabadikan majlis perkahwinan itu dipersetujui kedua-dua keluarga.
Apatah lagi mereka berdua banyak mendalami budaya masyarakat Melayu menerusi aktiviti Persatuan Pusat Kebudayaan Han Malaysia sejak lima tahun lalu.
Beliau yang juga presiden persatuan itu, berkata sebagai orang tua, impian itu bukan saja direstui, tetapi dirasakan keputusan unik meraikan perbezaan tanpa batasan.
“Anak menantu kami ini banyak mempelajari budaya Melayu menerusi Kem Bahasa dan Budaya yang dibawakan ke seluruh negara bertujuan meningkatkan tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan murid Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
“Jadi saya tidak keberatan bersetuju kerana mempunyai ramai kenalan Melayu, tambahan pula semakin jarang kita menghadiri majlis perkahwinan berkonsepkan Melayu asli di bandar raya,” katanya.
BAPA pengantin perempuan, Goh Hin, menepung tawar kedua-dua mempelai meraikan majlis persandingan mengikut adat Melayu di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP. Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din.
Hin San dan isteri serta besannya, Michael Yong dan isteri, Annie Chong mengambil peluang merenjis air mawar sebagai merestui ikatan perkahwinan kedua-dua anak mereka yang diadakan di Balai Budaya, Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini, semalam.
Pasangan mempelai yang memakai persalinan songket rona ungu diraikan dengan pelamin bercirikan Melayu tradisional dengan memilih busana Hang Tuah dan Tun Teja sebagai persalinan resepsi mereka.
Selain dipersembahkan gerakan silat oleh Adunan Gamelan Irama Melayu, pengantin diarak dengan paluan kompang dan bunga manggar, mencerminkan busana masyarakat Melayu.
Hin San berkata, anak dan menantunya masing-masing kedua-duanya anak sulung daripada tiga beradik, mengambil masa selama dua bulan untuk melakukan persediaan perkahwinan.
PERSEMBAHAN silat dari Adunan Gamelan Irama Melayu meraikan pengantin. Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
“Semuanya kerana mahu seratus peratus mengikut budaya perkahwinan Melayu, misalnya mewujudkan sistem tol seperti pengantin di Johor, selain banyak merujuk kepada pakar dari DBP, Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
“Saya gembira dengan kehadiran tetamu yang berbilang bangsa dan tetap tidak melupakan tradisi Cina yang akan diadakan pada majlis berlainan nanti,” katanya.
Beliau berkata pasangan pengantin turut mengabadikan kenangan dengan merakamkan gambar di tempat tarikan bersejarah dengan busana perkahwinan Melayu.
PASANGAN mempelai lengkap dengan busana Melayu bersongket ungu disertai paluan kompang diarak masuk ke dewan bagi mengabadikan majlis perkahwinan mereka. -Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PENGANTIN berketurunan Cina, Alex Yong dan isterinya, Ming Lee memilih persandingan adat Melayu sebagai mengabadikan perkahwinan mereka di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP. – Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
BH Online – Mahani Ishak (mahani@bh.com.my)
Hajat Pasangan Jepun Bersanding Ikut Adat Melayu Tertunai
Tarikh: 30-09-2012
Tetsu Kosenda dan Chiaki Kosenda diraikan dalam satu majlis resepsi perkahwinan mengikut budaya Melayu di Kampung Jaya Gading, Kuantan, semalam.
KUANTAN 30 Sept.: Keunikan dan kemeriahan adat Melayu ketika meraikan pengantin baru menjadi inspirasi kepada pasangan pengantin dari Nigata, Jepun untuk merealisasikan impian perkahwinan mereka.
Pasangan pengantin baru warga Jepun, Tetsu Kosenda, 28, dan isterinya, Chiaki, 27, yang berkahwin pada Ogos baru-baru ini, memilih bersanding mengikut adat tradisional dan budaya masyarakat Melayu, sekali gus menikmati sendiri pengalaman menjadi raja sehari pada majlis penuh meriah di Kampung Jaya Gading, di sini.
Menurut Tetsu Kosenda yang bekerja sebagai Jurutera Kanan (Kawalan Kualiti) di sebuah kilang elektronik di sini, dia meminta bantuan rakan dan para pekerjanya bagi mengadakan majlis persandingan tersebut.
“Setelah hampir dua tahun berada di Malaysia dan sering menghadiri majlis perkahwinan rakan-rakan Melayu, saya sungguh teruja setiap kali berpeluang hadir ke majlis persandingan mereka dan tertarik dengan pakaian pengantin serta adat perkahwinannya.
Ekoran daripada itu, saya memasang impian untuk bersanding mengikut adat Melayu apabila mendirikan rumah tangga dan berasa gembira apabila ia berlangsung dengan penuh meriah,” katanya kepada pemberita selepas majlis persandingan yang diadakan di Kampung Jaya Gading di sini hari ini.
Katanya, dia tidak menjangkakan hasrat untuk bersanding mengikut adat Melayu itu mendapat sokongan daripada semua pihak termasuk pihak pengurusan kilangnya.
“Saya cukup terharu apabila semua pihak seperti majikan, rakan-rakan dan para pekerja bersetuju untuk bersama-sama bergotong-royong meraikan majlis persandingan saya.
“Malah, pekerja saya, Noraini Darus, 48, turut bersetuju menawarkan rumahnya sebagai lokasi hari bersejarah tersebut,” jelasnya yang cukup meminati masakan Melayu seperti nasi lemak.
Sementara itu, isterinya, Chiaki, menyahut baik hasrat suaminya itu kerana dia juga menggemari budaya dan adat resam masyarakat di negara ini yang berbilang kaum.
Kedua-dua mempelai dari Nagata, Jepun itu diraikan dengan penuh adat Melayu termasuk berarak diiringi pukulan kompang, bersanding dan ditepung tawar sambil menyaksikan pertunjukan seni silat dan Muay Thai sebelum memulakan acara makan beradat.
Tetsu Kosenda berkata, walaupun wujud sedikit masalah dari segi komunikasi, ia tidak menghalangnya daripada ‘merakam’ hari pentingnya itu dengan keunikan cara masyarakat Melayu di negara ini.
“Saya suka Malaysia kerana rakyatnya cukup peramah. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan majlis kami. Saya sangat berpuas hati,” jelasnya yang mahu berbulan madu di negara ini.
“Saya sangat terharu apabila melihat begitu ramai orang termasuk penduduk datang meraikan perkahwinan kami dan mereka sangat ramah,” katanya.
Sementara itu, penduduk, Noraini Darus, 48, berkata, dia dan keluarga berbesar hati apabila kediaman mereka dipilih untuk lokasi majlis perkahwinan pasangan Jepun berkenaan yang juga pegawai atasan di kilang tempat dia bekerja.
Persiapan majlis dilakukan secara bergotong-royong bersama kakitangan kilang dan selepas perbincangan, mereka memilih rumah saya sebagai lokasi majlis perkahwinan.
Majlis ini bakal diingati sepanjang masa memandangkan ia majlis perkahwinan pertama dianjurkan di sini, katanya.
Terpikat Adat Melayu
Tarikh: 19-01-2016
Chong dan isterinya yang disandingkan mengikut adat dan tradisi orang Melayu Dalam Majlis Perkahwinan Di Dewan Serbaguna Pekan Rabu, Kluang
Alvin dan Carolyn ketika majlis resepsi di Seksyen 28, Shah Alam, Sabtu lalu. Foto ihsan Bulletin TV3
“BUKAN kami pasangan pengantin sahaja, keluarga dan saudara mara juga teruja dengan majlis perkahwinan mengikut adat dan budaya Melayu. Sangat seronok.”
Itu kata Carolyn Lee May Choo, 29, pengantin perempuan yang memilih adat Melayu untuk meraikan majlis resepsi bersama pasangannya, Dr Alvin Teoh Kim Meng, 44, di Dewan Singgahsana Pengantin, Seksyen 28, Shah Alam, Sabtu lalu.
Menurut Carolyn, dia dan suaminya sudah memutuskan untuk bersanding mengikut budaya Melayu sejak awal tahun ini sebagai resepsi kedua selepas mengadakan resepsi pertama mengikut adat Cina di Kelantan, bulan lalu.
“Kami ramai rakan karib berbangsa Melayu dan apa salahnya sementara mencari katering untuk makanan halal, kita sekalikan pakej majlis perkahwinan mengikut adat dan budaya Melayu.
“Saya juga dibesarkan dalam kalangan masyarakat Melayu dan makanan tradisional Melayu pun sangat sedap. Sebelum ini saya dan suami memang tidak sabar menantikan majlis resepsi kami Sabtu lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya yang berasal dari Kelantan, bukan sahaja dia dan pasangan, malah ahli keluarga dan saudara mara turut teruja dengan majlis perkahwinan budaya Melayu yang pertama kali mereka lihat di hadapan mata.
“Paling saya teruja adalah persembahan silat yang menggunakan keris betul ketika di pintu masuk dan di hadapan pelamin. Sebelum ini hanya tonton video sahaja.
“Keluarga serta tetamu yang berbilang bangsa juga kelihatan seronok dengan persembahan tarian dan makanan yang dihidangkan mengikut adat Melayu,” katanya yang juga penjawat awam.
Suaminya, Alvin, berkata, sejak awal dia sudah teruja untuk mengenakan busana Melayu bagi majlis resepsi perkahwinan mereka di Shah Alam untuk menjemput rakan-rakannya di ibu negara.
Katanya, dia kagum dengan persembahan pakaian pengantin lelaki Melayu yang lengkap bertanjak dan memiliki keris umpama seorang pahlawan.
“Selepas memakai pakaian pengantin adat Melayu ini saya rasa gagah. Memang sesuai orang cakap pengantin bagaikan Raja Sehari,” katanya.
Menurutnya yang menjalinkan hubungan dengan Carolyn selama empat tahun, mereka akan mengadakan resepsi ketiga di Ipoh Disember ini mengikut tradisi dan adat Cina.
Pada majlis Sabtu lalu, semua persediaan serta kelengkapan majlis mengikut adat dan budaya Melayu secara keseluruhan yang dikendalikan oleh Ani Catering and Wedding Planner.
Oleh Asrizal Aris (asrizal.aris@hmetro.com.my)
Pasangan Cina Pilih Konsep Perkahwinan Melayu
Tarikh: 01-12-2014
Pengantin perempuan Goh Sok Chin, 27, (duduk, kanan) menerima ucapan tahniah daripada penduduk kampung yang hadir pada majlis kenduri kahwin di Kampung Alor Rambai, Kepala Batas di sini semalam.
ALOR SETAR: Pasangan pengantin Tionghua mencetuskan kejutan manis di kalangan penduduk Kampung Alor Rambai, Kepala Batas dekat sini hari ini bila mereka memilih konsep perkahwinan Melayu bagi meraikan saat-saat bahagia mereka.
Soo Sheng Leng, 28, begitu segak mengenakan baju Melayu bersamping dan songkok, sementara isterinya Goh Sok Chin, 27, cukup tampan dengan kebaya Kedah.
Kedua-duanya yang langsung tidak menampakkan rasa kekok, menyerikan lagi majlis perkahwinan berkonsepkan gotong-royong masyarakat Melayu.
Kira-kira 3,000 saudara mara, rakan dan jiran meraikan pengantin.
Soo Lian Heng, 58, bapa kepada pengantin lelaki berkata majlis perkahwinan anaknya yang berkonsepkan adat Melayu telah lama dirancang bersama keluarga dalam usaha merapatkan lagi hubungan keluarganya bersama penduduk kampung yang terdiri daripada kaum Melayu.
Pemilik kedai runcit itu berkata rancangan itu diterima baik oleh keluarganya dan keluarga pengantin perempuan, rakan serta jiran.
“Saya berterima kasih kepada rakan dan jiran bagi sokongan kepada saya. Tanpa sokongan mereka kenduri kampung ini tak akan berjaya,” katanya kepada pemberita di majlis itu.
Pengantin lelaki Soo, pekerja sebuah syarikat swasta di Kulim itu berkata pada mulanya dia agak terkejut dengan rancangan bapanya itu namun tidak membantah.
“Saya amat bangga sebagai rakyat Malaysia. Saya dapat berkongsi kegembiraan ini bersama isteri, keluarga dan penduduk kampung,” katanya.
Bercakap mengenai baju kebaya Kedah yang dipakainya, Goh berkata, “Saya sangat teruja dan ini kenangan manis dalam hidup saya dan suami.
“Pengalaman ini akan diingat sampai bila-bila,” kata pekerja syarikat swasta di Kulim itu.
Penduduk kampung, Suraya Mat Lazim, 44, berkata dia agak terkejut apabila Soo menjemputnya sekeluarga menghadiri majlis kenduri kahwin konsep Melayu.
Majlis seumpama ini pertama kali diadakan oleh masyarakat Tionghua di kampungnya, kata beliau.
Katanya, sebagai jiran dia turut membantu keluarga tersebut pada majlis itu.
(Sumber: Bernama)
Pasangan Siam Kahwin Ikut Adat Melayu
Tarikh: 25-11-2012
Sepasang pengantin berketurunan Siam mencipta kelainan untuk menjadi kenangan indah dalam hidup mereka bagi dikongsi bersama anak cucu apabila meraikan majlis perkahwinan mereka mengikut adat Melayu, di sini, semalam.
Ini berikutan pengantin lelaki, Osot Prayun, 41, dari Kroh, Perak bersama pasangannya, Siry Chem, 35, turut diarak dengan paluan gendang dan seruling oleh Kumpulan Seni Warisan Kedah dari Kodiang bagi menyerikan majlis berkenaan.
Lebih menarik, pasangan pengantin terbabit juga melalui pengalaman direnjis oleh beberapa orang kenamaan termasuk Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.
Siry yang juga Pengurus Akaun, berkata majlis perkahwinannya berlangsung selama dua hari sejak kelmarin di mana turut diraikan mengikut adat Melayu kerana mahu merasai kemeriahan sendiri.
Menurutnya, tambahan pula, dia turut menjalani kehidupan Melayu bersama keluarga bapa angkatnya, Asni Bakar sejak berusia belasan tahun sekali gus timbul idea mahu melakukan persandingan mengikut budaya kaum terbabit.
(Sumber: Adat Resam Perkahwinan Masyarakat Melayu)
Pengantin India Bersanding Ikut Adat Melayu
Tarikh: 7-12-2012
Sepasang pengantin baru, R Surender, 26, dan S Lavanya, 25, diraikan dengan jamuan serta persandingan mengikut adat masyarakat Melayu.
Pasangan itu diraikan di rumah pengantin lelaki di Taman Megah Ria, Masai di sini, 24 November lalu oleh kira-kira 300 tetamu terdiri penduduk sekitar kawasan berkenaan.
Surender, seorang juruteknik berkata, dia dan isteri tidak menyangka majlis perkahwinan dalam konsep berbeza.
Perancangan majlis itu idea beberapa rakan yang juga ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kawasan ini.
“Saya dan isteri aktif dalam KRT dan penganjuran konsep perkahwinan itu sesuai bagi mengeratkan perpaduan masyarakat setempat,” katanya.
Sementara itu, Lavanya, jururawat klinik swasta berkata, selain berpakaian tradisional pengantin Melayu, majlis itu diselangi tepung tawar dan silat.
Menurutnya, tetamu juga dihidangkan dengan pelbagai masakan Melayu. Kami yang berkahwin di kuil pada pagi terharu diraikan dalam suasana meriah.
“Kami berterima kasih kepada KRT kawasan ini selain Umno Cawangan Cenderai yang melakukan pelbagai persiapan dan menaja pentas serta pakaian pengantin,” katanya.
(Sumber: Adat Resam Perkahwinan Masyarakat Melayu)
Pasangan Cina Kahwin Ikut Adat Kaum Melayu Di Pangkor
Tarikh: 16-01-2011
Sepasang pengantin berbangsa Cina di sini memilih adat perkahwinan Melayu bagi meraikan hari berbahagia mereka termasuk menggayakan persalinan songket yang lengkap selain diarak pembawa bunga manggar dan kumpulan kompang dengan direnjis air mawar.
Pasangan Marco Foo, 29, dan Jenny Chan, 22, turut disandingkan di atas pelamin dengan jemputan turut diberi peluang untuk melakukan adat menepung tawar kedua-dua pengantin itu. Marco berkata idea untuk melangsungkan hari bersejarahnya dalam adat perkahwinan Melayu itu dibuat apabila dicadangkan oleh sahabatnya.
“Saya dilahirkan dan dibesarkan di Pulau Pangkor bersama kawan-kawan pelbagai kaum termasuk Melayu. Tiada masalah bagi saya untuk bersanding mengikut adat. Jika dahulu saya menyaksikan perkahwinan kawan-kawan Melayu, namun hari ini, saya sendiri yang bersanding,” katanya ketika ditemui pada majlis persandingannya di sini hari ini.
Beliau yang merupakan seorang pengusaha kedai komputer di sini berkata keluarganya juga terlebih dahulu mengadakan majlis perkahwinan dalam adat perkahwinan Cina semalam.
Terdahulu, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang juga merupakan anggota Dewan Undangan Negeri Pangkor turut meraikan pasangan itu yang dihadiri lebih 500 tetamu pelbagai kaum dan agama di Pangkor Village Resort di sini.
Zambry melahirkan rasa gembira dengan penerimaan pasangan itu terhadap adat dan budaya masyarakat Melayu.
Katanya masyarakat kini sudah berubah dan kini boleh berkongsi adat bangsa lain yang sebelum ini hanya terhad diamalkan oleh satu-satu bangsa sahaja.
“Saya cukup terharu dengan perubahan positif yang berlaku sekarang ini, di mana adat kaum Melayu contohnya sudah boleh diterima dan diamalkan oleh kaum Cina di sini. Peristiwa di mana pasangan pengantin berbangsa Cina yang melangsungkan perkahwinan mereka mengikut adat orang Melayu pada hari ini cukup bersejarah dan belum dilihat sebelum ini,” katanya.
Terdahulu beliau turut menyaksikan kedua-dua pengantin yang segak memakai pakaian songket itu diarak sebelum melakukan adat tepung tawar terhadap pengantin itu di atas pelamin.
— BERNAMA DIN ZAZ KLS
(Sumber: Adat Resam Perkahwinan Masyarakat Melayu)
Pasangan Jepun Langsungkan Majlis Perkahwinan Mengikut Adat Kaum Melayu
Tarikh: 10-09-2005
Oleh kerana hatinya sudah tertawan dengan kebudayaan dan keramahan penduduk tempatan, seorang pemuda Jepun, Shiraga Katsuyuki, 34, memilih untuk melangsungkan perkahwinannya mengikut adat tradisional masyarakat Melayu di sebuah tempat peranginan di sini.
Walaupun tanpa kehadiran keluarga dan sanak saudara yang dipisahkan oleh jarak yang beribu batu jauhnya, majlis perkahwinan Katsuyuki dengan pasangannya Shiraga Satoe, 25, tetap meriah dengan kehadiran serta layanan penuh mesra kalangan penduduk tempatan serta kakitangan resort itu.
Katsuyuki sebelum ini pernah bekerja di sebuah kilang di Malaysia selama tiga setengah tahun, sebelum pulang ke Jepun selama enam bulan, dan kembali kesini semula ke sini sembilan bulan lalu untuk bertugas sebagai sebagai penasihat penyeleggara di sebuah kilang eletronik di Pangkalan Chepa, Kelantan.
Bermula dengan adat bersiram pada sebelah awal pagi, pasangan itu kemudiannya diarak dengan pengusung sehingga ke pelamin yang disediakan untuk ditepung tawar, dan jelas kedua-duanya nampak cukup ceria dalam menempuh satu pengalaman yang amat unik bagi mereka.
Katsuyuki yang berasal dari Okayama nampak begitu tampan dan hebat dengan mengenakan songket berwarna biru muda, manakala Satoe pula yang berasal dari Hiroshima, turut kelihatan cukup ayu dan menawan memakai kebaya songket.
“Makanan di sini juga sedap, cuma agak pedas,” kata Katsuyuki kepada pemberita menerusi seorang jurubahasa.
— BERNAMA NSM AZ
(Sumber: Adat Resam Perkahwinan Masyarakat Melayu)
Presiden Avon Pilih Perkahwinan Cara Melayu
Tarikh: 16-09-2003
DITANYA pada setiap orang, pasti sebahagian besarnya bersetuju bahawa upacara perkahwinan merupakan peristiwa yang amat penting dan paling istimewa dalam seumur hidup mereka.
Bukan sahaja kepada pasangan pengantin, malah kepada ibu bapa dan ahli-ahli keluarga serta sahabat handai yang rapat.
Bagi orang Melayu, adat istiadat yang bermula dengan merisik, meminang, bertunang, menghantar belanja sehinggalah kemuncaknya, majlis persandingan dirancang dengan elok dan kalau boleh jangan ada satupun yang ditinggalkan.
Keunikan dan kemeriahan adat perkahwinan orang Melayu dengan pelbagai upacara yang ‘tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas’, seperti berandam, berinai, makan beradab dan sebagainya, sememangnya amat dikagumi.
Keistimewaan ini turut memikat pasangan pengantin baru Germen Martinez Corral, 42, dan isterinya, Esti Catur Hastuti, 32, yang mengabadikan hari bersejarah mereka mengikut adat dan tradisi perkahwinan masyarakat Melayu.
Germen yang berketurunan Sepanyol, merupakan Presiden Avon Cosmetic (M) Sdn. Bhd. yang telah hampir dua tahun bertugas di negara ini.
Majlis meraikan pasangan pengantin baru itu telah diadakan dalam satu majlis penuh meriah di ibu pejabat Avon, di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Melangkah masuk ke dewan dengan iringan paluan kompang Germen kelihatan segak mengenakan baju Melayu songket dan bertanjak, manakala Esti, wanita kelahiran Indonesia, ayu dengan kebaya songket moden.
Pasangan pengantin kemudiannya bersanding di atas pelamin yang dihiasi indah. Sambil diiringi tarian tradisional, upacara menepung tawar oleh ahli keluarga pengantin serta para sahabat turut diadakan sebagai melengkapkan dan memeriahkan suasana.
Menceritakan perasaannya, Germen mengakui, amat terharu kerana berpeluang merasai pengalaman paling menyeronokkan terutama ketika mengenakan pakaian pengantin bersongket emas serta bertanjak.
Katanya, peluang bersanding di atas pelamin dan mengikut sebahagian adat istiadat perkahwinan Melayu memberi makna yang besar dan tidak mungkin dilupa sepanjang hayatnya.
Setelah hampir dua tahun bertugas di sini, sedikit sebanyak saya telah mengenali budaya dan adat resam masyarakat tempatan termasuk dalam hal perkahwinan.
Sekurang-kurangnya ini hadiah paling berharga buat saya daripada kakitangan Avon sepanjang berkhidmat di sini,” ujarnya gembira.
Germen mengakui, tinggal di Malaysia sebenarnya telah memberikan banyak input yang berguna kepadanya, terutama apabila berpeluang meninjau dan berkongsi kehidupan dengan penduduk tempatan.
Baginya, majlis petang itu lebih bermakna dengan kehadiran ahli keluarga yang lain termasuk ibunya, Albina Corral, abang kandungnya, Fernando dan isteri, Anna Corral, serta anak mereka Patricia dan William.
Bercerita mengenai perkenalan dengan isterinya, Germen berkata, mereka bertemu ketika beliau berkunjung ke Indonesia kira-kira tiga bulan lalu atas urusan kerja.
Jatuh cinta pandang pertama, Germen lantas memberanikan diri melamar Esti dan ternyata beliau tidak bertepuk sebelah tangan.
Beliau wanita yang sungguh istimewa.
Selain kejelitaan, perwatakannya yang lemah lembut tetapi pandai membawa diri amat memikat,” katanya sambil merenung Esti yang berdiri di sisinya.
Majlis yang dihadiri 100 kakitangan Avon itu berakhir dengan majlis makan beradab bersama ahli keluarga pengantin lelaki.
(Sumber: Adat Resam Perkahwinan Masyarakat Melayu)
Pasangan England Langsung Perkahwinan Ikut Adat Melayu
Tarikh: 18-04-2003
Hasrat sekeluarga dari England yang ingin mengahwinkan anak mereka di Malaysia mengikut adat istiadat Melayu, akhirnya tercapai apabila perkahwinan itu berlangsung di sini hari ini.
Terry D’Souza, 51, yang merancang perkahwinan itu sejak setahun lalu dan besannya Julian Davies, 50, begitu gembira meraikan hampir 40 tetamu yang hadir di majlis perkahwinan yang berlangsung di Mutiara Burau Bay Beach Resort Langkawi.
“SARS (Sindrom Pernafasan Akut Yang Teruk) dan konflik perang di Iraq tidak menghalang kami mendaftarkan perkahwinan anak-anak kami di Langkawi, semalam,” kata D’Souza di sini.
Beliau yang dilahirkan di Melaka kini menjadi warganegara British setelah menetap di England sejak lebih 30 tahun yang lalu.
Anak perempuannya, Alison D’Souza, 24, dan Nathan Davies, 27, masing-masing cantik dan segak berpakaian tradisional Melayu ketika bersanding di atas pelamin.
Sebelum itu, ketibaan pengantin yang diiringi pengapit masing-masing ke pelamin disambut dengan paluan kompang dan diikuti majlis “akad nikah” secara simbolik dengan menyarung cincin di jari manis masing-masing.
Ketika pengantin bersanding mereka dipersembahkan dengan pencak silat dan tarian kebudayaan sebelum disusuli upacara merenjis air mawar sebelum diadakan joget lambak.
Nathan, anak kedua daripada tiga beradik adalah lulusan University of Plymouth kini bertugas sebagai guru dan Alison anak kedua daripada empat beradik adalah seorang pelatih jururawat di negaranya.
Julian yang pertama kali menyaksikan adat perkahwinan itu berkata selain menikmati keindahan alam semulajadi di Langkawi, beliau juga dapat mengikuti adat istiadat perkahwinan Melayu yang unik dan menarik.
Langkawi terus menjadi destinasi pilihan bagi pasangan pelancong asing bukan Islam mendaftar perkahwinan mereka sambil berbulan madu di sini sejak syarat perkahwinan untuk mereka dipermudah pada akhir 1999.
Statistik Jabatan Pendaftaran Negara menunjukkan seramai 143 pasangan luar negara mendaftar perkahwinan di sini setakat ini dengan 24 pasangan berbuat demikian tahun lalu.
— BERNAMA MNH RHM
(Sumber: Adat Resam Perkahwinan Masyarakat Melayu)
Pasangan Belanda Raikan Perkahwinan Ikut Adat Melayu
Tarikh: 10-04-2003
Langkawi merupakan tempat paling bermakna bagi sepasang kekasih dari Belanda kerana di sinilah mereka membuat keputusan untuk berkahwin malah turut mengadakan upacara perkahwinan mengikut adat istiadat Melayu.
Detik-detik bersejarah bagi Robbie Mardon, 40, dan Mirjom Gommers, 32, terakam malam tadi di Mutiara Burau Bay Beach Resort apabila pihak pengurusan hotel itu mengendalikan upacara perkahwinan mereka dengan penuh warna warni dan dihadiri para tetamu, kebanyakannya pelancong asing yang menginap di situ.
Ketibaan pengantin di Seashell Beach Cafe, tempat berlangsung upacara perkahwinan itu, disambut dengan paluan kompang dan diiringi pengapit masing-masing sehingga ke pelamin yang serba kuning.
Robbie kelihatan kacak berpakaian baju Melayu hitam dengan tanjaknya manakala Mirjom anggun dengan kebaya hitam bersulam benang emas.
Walaupun pasangan itu kelihatan agak kekok dan gugup melalui adat istiadat Melayu itu, tetapi air muka mereka penuh ceria merasai pengalaman yang tidak pernah mereka lihat sebelum ini.
Bibit-bibit percintaan pasangan yang gemar mengembara ini tercetus 11 tahun lepas apabila mereka bertemu buat pertama kali di Greece.
Mereka tiba di Langkawi dua minggu lepas, seterusnya mengambil keputusan untuk berkahwin di sini, setelah sekian lama menjelajah bersama ke beberapa negara.
Pengurus Besar Mutiara Burau Bay Beach Resort, Abdul Razak Abdul Kadir, berkata ini merupakan kali pertama hotel itu meraikan dan mengendalikan upacara perkahwinan seperti itu.
“Bila pasangan itu merancang untuk melansungkan perkahwinan di sini, kami memberikan kerjasama untuk menganjurkan majlis perkahwinan Melayu itu secara besar-besaran,” katanya.
Beliau berkata upacara yang penuh warna warni beserta dengan adat tradisional Melayu itu telah menarik minat pelancong dari luar negara yang menginap di situ.
Semasa bersanding pengantin dipersembahkan dengan pencak silat dan tarian kebudayaan Melayu.
Upacara kemuncak persandingan itu, para tetamu dan pelancong asing kemudian dijemput merenjis air mawar kepada pasangan pengantin.
Robbie memberitahu pemberita kemudian bahawa beliau tidak akan melupakan saat-saat manis yang dilaluinya itu. “Kami akan terus datang ke Langkawi,” katanya.
— BERNAMA MNH FIZ MA
(Sumber: Adat Resam Perkahwinan Masyarakat Melayu)
Buat Renungan Bersama:
- Isu Majlis Perkahwinan Melayu Sekarang: Diberi Nafas Baru Ataupun Penghakisan Budaya? – berita.mediacorp.sg … Sila Klik
- Hampir 90% Berpendapat Perkahwinan Melayu Banyak Dicemari Unsur Luar – berita.mediacorp.sg … Sila Klik