Tidak pernah terlintas di benak fikiran bahawa minat suka membantu ahli keluarga, sanak saudara, teman-teman dan jiran tetangga secara santai dan sambilan di dalam membuat reka bentuk grafik, baik untuk cetakan mahupun digital, serta gubahan untuk majlis pertunangan dan perkahwinan selama ini, akan berputik menjadi idea untuk berkhidmat kepada masyarakat secara rasmi.
Bismillahirrohmanirrohim
SEGALA puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam disampaikan kepada junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarga serta para sahabat Baginda.
Syukur yang tulus ke hadrat Allah SWT kerana dengan bantuan serta limpahan dan rahmatNya, kesejahteraan intelek, rohani, emosi dan jasmani telah dikurniakan sehingga tertubuhnya nurmajlis.com – sinar tradisi pada zaman kini. Alhamdulillah.
Tidak ada padi yang bernas setangkai. Tidak ada satu pun makhluk di dunia ini yang serba sempurna termasuk diri kami beserta perkhidmatan yang kami tawarkan ini. Sesungguhnya kesempurnaan adalah milikNya sahaja. Setiap perkara yang baik adalah dariNya dan yang sebaliknya adalah dari kelemahan diri kami sendiri. Namun demikian, adalah harapan kami semoga perkhidmatan yang kami sediakan ini memberi manfaat kepada semua yang memerlukannya.
Sekiranya terdapat kekhilafan dan kekurangan, makanya, harap dimaafkan. Cadangan dan teguran yang membina amatlah bererti bagi kami, terimakasih.
Assalamu’alaikum dan salam sejahtera…
Selaku pengasas dan pengusaha nurmajlis.com, dengan rendah hati saya ucapkan ribuan terimakasih kepada anda kerana sudi melayari laman sesawang kami yang sederhana ini untuk melihat tawaran perkhidmatan kami.
Berdasarkan latar belakang di bidang pendidikan, seni dan reka bentuk grafik / desain dalam komunikasi visual, saya sememangnya suka memberi bantuan di dalam apa juga masalah seni rekaan termasuk seni gubahan. Sudah menjadi sifat semula jadi untuk mereka sesuatu dengan sebaik mungkin untuk sesiapa yang memerlukan bantuan walaupun orangnya kurang atau tidak saya kenali. Apabila berdepan dengan masalah rekaan, berbagai solusi akan saya cuba dan gunakan termasuk mengambil kira kesesuaian dan penampilan estetik secara keseluruhan demi menghasilkan sesuatu yang berjaya. Mungkin kelemahan saya adalah keinginan yang kuat untuk membantu sepenuhnya sehingga berjaya apa yang diusahakan agar sesiapa yang meminta bantuan akan berasa berpuas hati dan dihargai.
Teringat saya satu ketika dahulu semasa saya ditugaskan untuk membantu membuat rekaan backdrop pentas untuk majlis graduasi para pelajar menengah. Ketika saya bersama-sama beberapa orang anak murid saya sedang bertungkus-lumus melukis desain, memotong dan mengecat kepingan styrofoam, saya didatangi oleh seorang rakan sekerja yang memberi komen secara kasual,
“Alah, untuk majlis graduasi sahaja, bukan perkara besar.”
Walaupun saya membiarkan sahaja kata-katanya, namun demikian, ianya terngiang-ngiang di fikiran saya. Mungkin ada yang menganggap ianya adalah sesuatu yang tidak perlu diberikan perhatian dan kesungguhan kerana dipandang sebagai bukan perkara atau acara yang besar, tetapi pada diri saya, setiap tugasan serta tanggungjawab yang diamanahkan, sama ada kecil mahupun besar, adalah sesuatu yang penting.
Kenapa penting?
Jawapannya adalah, KERANA ADA YANG MENGHARAP.
Sebagai insan biasa, saya sentiasa cuba menolak diri untuk melakukan setiap sesuatu dengan sebaik mungkin agar dapat menghasilkan sesuatu yang baik dan ideal. Sifat “perfectionist” atau suka pada kesempurnaan di dalam melakukan apa juga tugasan sudah sebati dan memang sukar dipisahkan daripada diri saya. Akan tetapi, adakalanya ianya penting untuk menghasilkan sesuatu yang positif dan memuaskan di dalam apa juga tugasan. Ada yang memandang sifat ini sebagai satu beban, namun pada diri saya, ianya adalah satu tanggungjawab. Saya percaya bahawa selagi setiap sesuatu yang kita lakukan masih boleh diperbaiki, itulah yang harus kita lakukan. Bukan pujian yang diharapkan, tetapi kepuasan di dalam melaksanakan tugasan dan tanggungjawab yang saya inginkan, terutama sekali apabila melihat wajah-wajah gembira orang-orang yang menerima bantuan atau khidmat saya. Ianya amat berharga dan tidak boleh ditukar ganti dengan wang dolar.
“… kepuasan di dalam melaksanakan tugasan dan tanggungjawab yang saya inginkan, terutama sekali apabila melihat wajah-wajah gembira orang-orang yang menerima bantuan atau khidmat saya.”
Saya sememangnya amat tertarik dengan warisan budaya dan adat istiadat perkahwinan masyarakat Melayu kerana keindahan dan keistimewaannya yang tersendiri yang penuh makna, peradaban dan kesucian. Namun demikian, terdapat banyak adat tradisi yang telah dihilangkan di zaman ini akibat pengaruh globalisasi dan pemodenan. Adakalanya, ciri-ciri adat tradisi masyarakat Melayu sedikit sekali dirasakan kehadirannya di dalam sesebuah majlis walimah. Harapan saya adalah untuk mengembalikan serta menghidupkan warisan budaya dan adat tradisi masyarakat Melayu di dalam perkhidmatan yang ditawarkan, baik untuk majlis pertunangan, perkahwinan mahupun keramaian dan membawanya ke era yang baru agar kewujudannya dapat terus dikekalkan dan menjadi kebanggaan generasi masa kini dan akan datang. Semoga tercapai maksud dan terpancar cerah sinar tradisi pada zaman kini. (Perinciannya boleh anda baca di laman Selamat Datang).
Di nurmajlis.com, saya mengambil pendekatan yang peribadi di dalam menjalankan perkhidmatan yang ditawarkan dengan meletakkan diri saya di sepatu pelanggan. Saya anggap setiap tempahan sebagai seolah-olah ianya untuk diri dan majlis saya sendiri. Inilah jantung falsafah perkhidmatan yang saya berusaha untuk ketengahkan buat kami di nurmajlis.com.
Falsafah kami:
“Sentiasa memberikan yang terbaik, seolah-olah ianya untuk diri sendiri. Jangan memulakan sesuatu tugasan atau tanggungjawab jika kita tidak berniat untuk melaksanakannya melalui sumbangan usaha yang ditekuni dengan penuh kesungguhan kerana ianya hanya akan menghasilkan sesuatu yang biasa-biasa atau kurang memuaskan dan hanya sia-sia sahaja. Sebaiknya jangan dimulakan langsung tugasan atau tanggungjawab tersebut kerana ianya hanya merupakan pembaziran masa, wang dan tenaga serta mengecewakan harapan.”
MENGENAI KAMI:
nurmajlis.com adalah perniagaan milik keluarga berskala kecil yang ditubuhkan khas untuk penduduk di Singapura.
Visi Kami:
Kami menganggap pelanggan kami sebagai tetamu dan kami adalah tuan rumah. Ianya adalah tugas kami untuk memberikan pengalaman pelanggan yang bermakna dengan menyediakan perkhidmatan yang bermutu berdasarkan harga terbaik.
Misi Kami:
Misi kami adalah untuk menyediakan beberapa perkhidmatan bagi menjayakan Majlis seperti Pertunangan, Perkahwinan serta Keramaian berskala sederhana demi menghidupkan warisan budaya dan adat tradisi Masyarakat Melayu di Singapura.
Janji Kami:
Kami komited untuk menyinarkan majlis anda dengan perkhidmatan yang cemerlang, In Shaa Allah.
KAMI BEROPERASI BERPANDUKAN 7 NILAI TERAS:
Berikut adalah nilai-nilai teras dan prinsip-prinsip yang mencerminkan sikap serta budaya kami. Ianya telah dikenal pasti sebagai penting untuk diserapkan dan diamalkan baik secara peribadi mahupun di dalam setiap tugasan serta tanggungjawab demi mencapai matlamat kami. Walaupun kami kecil, ianya perlu untuk memandu kami supaya sentiasa kekal fokus.
1. Boleh dipercayai
- Kami melaksanakan tugasan dan tanggungjawab sepertimana yang kami sendiri harapkan orang lain lakukan untuk kami.
2. Keprihatinan terhadap orang lain
- Setiap pelanggan kami adalah unik. Kami kendalikan setiap tempahan berdasarkan bantuan yang diperlukan oleh setiap pelanggan. Kami meletakkan diri kami di sepatu pelanggan untuk memahami hasrat dan harapan mereka demi merealisasikannya dan menjalankan tugasan seolah-olah ianya untuk diri kami sendiri.
3. Perhatian yang terperinci
- Kepuasan pelanggan adalah keutamaan kami. Setiap sudut perkhidmatan yang diberi akan sentiasa kami periksa dengan teliti dengan kemampuan kami yang terbaik supaya tiada yang kekurangan atau kurang memuaskan.
4. Profesional
- Untuk sentiasa kekal relevan supaya dapat memberikan perkhidmatan yang baik dan memuaskan, kami harus sentiasa menimba ilmu dan mempertingkatkan diri.
5. Dedikasi
- Pengorbanan fikiran atau minda (berpandukan rujukan dan penyelidikan), masa dan tenaga adalah resipi kejayaan yang perlu ada dalam diri kami untuk melaksanakan sesuatu tugasan dan tanggungjawab agar sempurna.
6. Semangat
- Kami percaya bahawa untuk pencapaian yang baik dan konsisten, motivasi atau dorongan serta semangat dan ketekunan yang tinggi haruslah diterapkan di dalam etika pekerjaan.
7. Komitmen
- Sikap suka membantu sentiasa mendorong kami untuk memberikan yang terbaik dan akan tercermin pada setiap tugasan yang kami lakukan. Hanya dengan kesungguhan usaha, kepuasan di dalam melaksanakan sesuatu tugasan itu dapat dinikmati dan kejayaan diraih.
Oleh yang demikian, bagaimanakah kami boleh membantu anda?
Kami percaya setiap majlis yang diadakan haruslah bermakna dan memberi kesan positif untuk dibuat kenangan abadi. Izinkan kami membantu anda mencapainya. Anda boleh hubungi kami untuk menyatakan hasrat anda dan untuk mendapatkan maklumat lanjut. Kami amat hargai sokongan anda.
Terimakasih.
Salam ikhlas dari kami,
nurmajlis.com