Singgahsana raja sehari yang indah akan semakin berseri dengan kehadiran bunga pahar atau bunga telur yang menghiasinya. Selain daripada menyerikan pelamin, ianya dianggap sebagai lambang kesuburan dan tanda terimakasih kepada tetamu. Walaupun masyarakat kini semakin moden, akan terasa pincang adat persandingan Melayu andainya bunga pahar dilupakan. Konsep hiasan singgahsana berubah mengikut zaman, namun asasnya tidak dilupakan. Tetamu yang hadir pasti tidak akan melepaskan peluang menikmati keindahan dan kesenian hiasan singgahsana, pastinya sesuatu yang tidak dapat dilupakan oleh pasangan pengantin itu sendiri.
Majlis akan terasa meriah apabila tiba acara merenjis dan menepung tawar. Selesai merenjis, tetamu akan diberikan bunga telur sebagai cenderahati untuk dijadikan kenangan abadi. Tetamu atau kaum keluarga yang menepung tawar dan menerima bunga telur ini, diharapkan akan bersama-sama mendoakan pasangan pengantin supaya dikurniakan zuriat. Telur dipilih sebagai bahan dan simbol utama kerana kehidupan manusia bermula daripada persenyawaan atau pencantuman benih telur. Telur yang digunakan pula tidak terhad hanya pada telur ayam yang direbus sahaja tetapi juga telur asin dan telur burung puyuh. Telur yang telah direbus biasanya akan diwarnakan dan dipasang pada jaring yang diikat pada bunga bertangkai yang dihias cantik. Bunga juga dilihat sebagai tanda kesuburan dan sering digunakan kerana tanaman atau tumbuhan yang subur pasti akan menghasilkan bunga-bungaan yang mekar lagi indah. Gadis atau wanita idaman juga sering diibaratkan sebagai sekuntum bunga mekar di taman manakala pria atau lelaki pula diumpamakan kumbang yang datang ingin menyunting bunga idaman. Dari itu, apabila bunga dan telur disatukan, jadilah ia bunga telur, lambang kesuburan.
Setiap bunga telur ini akan dikumpul, disusun dan digubah indah menjadi jambangan bunga rendang berwarna-warni yang menjadi bunga pahar. Kini, terdapat berbagai pilihan bunga pahar dengan corak dan warna yang menarik di pasaran. Selain daripada bunga kertas, terdapat juga bunga celup emas, bunga kristal, bunga bertatahkan manik permata, bunga organza, satin dan renda. Selain telur sebagai bahan utama, gugusan bunga ini akan dipadatkan dengan bahan lain seperti pulut kuning, cokelat, gula-gula, sapu tangan dan sebagainya mengikut kreativiti dan citarasa masing-masing. Ianya kemudian akan disatukan dan diletakkan ke dalam pasu atau pendiri yang unik dan eksklusif untuk penampilan yang lebih moden dan akan diletakkan di sebelah kiri dan kanan pelamin sebagai penyeri. Ada juga yang membawa sepohon bunga pahar lagi untuk mengiringi barang hantaran untuk pasangan mempelai pada hari bertandang.
Di bawah ini adalah contoh gubahan bunga pahar yang kami reka menggunakan telur dan cokelat sebagai pemanis rasa dengan harapan kehadiran zuriat akan membawa kemanisan dalam kehidupan pasangan pengantin.
Bunga Pahar / Bunga Telur Jambangan Bunga
Di dalam gubahan jambangan bunga yang kami reka ini, kami menggunakan bunga yang telah dihiasi reben dan diisi dengan telur dan cokelat sebelum dipacakkan pada pasu atau pendiri yang berwarna perak. Bunga-bungaan yang berwarna cream digunakan di sini kerana ianya mudah dipadankan dengan warna-warna lain terutamanya berbagai warna pelaminan, namun akan tetap nampak terserlah dan unggul.
Bunga Pahar / Bunga Telur Signature nurmajlis.com – ‘Bakul Rezeki’
Kami juga ada mereka dan menggubah bunga pahar signature tersendiri yang mewakili identiti kami dan hanya terdapat khusus di nurmajlis.com. Ianya kami namakan ‘Bakul Rezeki’. Di dalam gubahan di bawah ini, kami menggunakan bakul untuk mengisi setiap biji telur beserta beberapa biji cokelat sebagai pemanis rasa. Di sini, bakul dipilih sebagai simbol atau lambang bakul bayi. Dari itu, konsep bunga telur ini adalah berdasarkan telur di dalam sarang atau ‘bayi’ di dalam bakul. Satu kehidupan yang pastinya akan membawa kemanisan dan kebahagiaan dalam hidup setiap makhluk dan pasangan yang berumah tangga. Kami membuat hiasan yang simple dengan menggunakan bunga lawang, sarang kertas dan reben supaya biji-biji telur ini beserta kandungan bakul akan nampak lebih terserlah dan dapat dinikmati dengan jelas. Telur pula kami bungkus dengan kertas perak untuk menekankan betapa pentingnya ‘bayi’ yang baru lahir dan amanah serta rezeki yang Allah SWT kurniakan ini. Di bawah ini kami persembahkan Gubahan Bunga Pahar / Bunga Telur Signature Nurmajlis – ‘Bakul Rezeki’;
Di bawah ini pula, kami menggabungkan setiap bakul telur dengan sebiji tanjak songket untuk menyarung dan mengisi telur. Ianya merupakan satu persembahan gubahan tradisional yang diberi nafas baru. Sebagai simbol perlindungan, tanjak yang diperbuat daripada songket, melambangkan kepentingan menjaga amanah Allah SWT oleh setiap pasangan ibu bapa. Setiap tangkai bakul dihiasi dengan manik-manik kristal dan reben emas serta bahan hiasan lainnya untuk persembahan yang lebih indah dan menarik. Kami juga sertakan pulut kuning yang dipersembahkan di dalam beberapa bekas makanan di dalam gubahan ini sebagai lambang kesyukuran. Dari maklum balas yang kami terima, para tetamu yang melihatnya buat pertama kali berasa terpesona sehingga berebut untuk ‘menempah’ atau ‘chope’ bakul-bakul telur tersebut sejak awal majlis perkahwinan dan tidak sabar untuk menunggu saat akhirnya majlis untuk mendapatkannya sebagai cenderahati untuk dibawa pulang!
*Biasanya kami menggunakan telur asin untuk gubahan bunga telur kami kerana ianya boleh disimpan untuk beberapa hari. Ini ialah untuk mengelakkan telur daripada cepat rosak dan sekaligus mengurangkan pembaziran. Namun jika anda ingin menggunakan telur atau bahan yang lain, kami tidak keberatan untuk merealisasikannya, In Shaa Allah.