nurmajlis.com

  • Utama
  • Pengenalan
    • Selamat Datang
    • Cerita Kami
    • Penerangan Logo
    • Manfaat Tawaran
    • Testimoni
  • Perkhidmatan
    • Gubahan
    • Reka Bentuk Grafik
    • Menghias Kamar Pengantin
    • Menghias Kereta Pengantin
    • Cenderahati / Doorgift Untuk Majlis
    • Sewaan Peralatan Majlis & Keramaian
    • Penghantaran & Pengambilan Kembali
  • Portfolio
  • Tawaran
    • Harga & Pakej
    • Terma & Syarat
    • Soalan Lazim (FAQs)
  • Hubungi
  • Artikel
    • Bangsa-bangsa Lain Bersanding Mengikut Adat Istiadat Melayu
    • Isu Majlis Perkahwinan Melayu Sekarang: Diberi Nafas Baru Ataupun Penghakisan Budaya?
    • Hampir 90% Berpendapat Perkahwinan Melayu Banyak Dicemari Unsur Luar

Gubahan Tepak Sireh

Gubahan Tepak Sireh nurmajlis.com

“Mengapa perlu diadakan khidmat gubahan tepak sireh?”

“Bukankah di zaman moden ini ramai yang sudah tidak mengamalkannya lagi?”

“Masih ada ke masyarakat Melayu yang makan sireh?”

Demikianlah ujar-ujaran yang saya terima apabila ingin mengembalikan semula penggunaan peralatan tradisional ini di upacara adat istiadat perkahwinan masyarakat Melayu pada hari ini.

Tepak sireh. Apakah pengertiannya kepada diri anda?

Tepak sireh merupakan satu objek budaya yang amat penting dan istimewa di dalam masyarakat Melayu tradisional. Ianya merupakan barangan pusaka dan warisan yang berkedudukan penting di dalam upacara-upacara dan majlis-majlis rasmi dan untuk dimiliki di dalam kehidupan seharian baik di kalangan para raja mahupun rakyat jelata.

Sireh diertikan sebagai daun yang mahal nilainya di dalam kehidupan masyarakat Melayu. Selain daripada memiliki berbagai khasiat perubatan, sireh dijadikan lambang budi oleh masyarakat Melayu yang mementingkan sikap hormat-menghormati, berbudi-bahasa, bersatu-padu, hidup beradat dan berperaturan sebagai nilai yang perlu diterapkan di dalam kehidupan seharian. Kemesraan rasa yang dinikmati dari campuran bahan-bahannya yang berbagai sifat dan rupa, melambangkan keharmonian dan kesepakatan yang dapat dirai dengan sikap bersatu hati walaupun dalam keadaan yang berbeza. Menghidangkan dan memakan sireh dan ramuannya juga dilihat sebagai lambang pengenalan, penerimaan dan kemesraan apabila menyambut tetamu baik di dalam upacara-upacara dan majlis-majlis rasmi atau secara peribadi. Tepak sireh beserta bahan-bahannya dipercayai mempunyai makna dan pengertian yang tersendiri bagi orang yang memberi dan yang menerima.

Di dalam adat masyarakat Melayu, tepak sireh merupakan pembuka bicara atau pembuka wadah sebelum sesuatu perbincangan dimulakan.

Lazimnya, tepak sireh digunakan sebagai media pembuka bicara di dalam majlis merisik, peminangan, pertunangan dan perkahwinan masyarakat Melayu. Ianya dianggap sebagai satu bentuk komunikasi bukan lisan di mana kehadirannya sahaja sudah cukup untuk diketahui hajat sebenar yang dibawa tanpa perlunya kata-kata. Rombongan keluarga pihak lelaki akan membawa daun sireh yang diletakkan di dalam tepak sebagai buah tangan untuk dihadiahkan kepada keluarga pihak perempuan. Keluarga pihak perempuan pula akan menyediakan sireh sebagai tanda menerima kunjungan tetamu. Mengunyah sireh dan ramuannya memberikan efek yang menenangkan pada pemakannya dan mengurangkan rasa cemas dan gementar yang dialami saat bertandang di dalam majlis merisik dan peminangan, terutamanya buat kedua-dua pihak keluarga yang pertama kali bersua muka. Setelah sirih dijamah oleh kedua-dua pihak keluarga, barulah perbincangan dan majlis sebenar dimulakan.

https://nurmajlis.com/wp-content/uploads/2019/11/Menyambut-Tetamu-Dengan-Tepak-Sireh-Ustaz-Abdul-Somad.mp4

Tepak Sireh Sebagai Objek Meminang Yang Penuh Makna oleh Ustaz Abdul Somad Lc. MA

Sehubungan dengan itu, tepak sireh juga digunakan sebagai lambang hajat pihak keluarga lelaki diterima atau ditolak oleh pihak keluarga perempuan. Misalnya, di dalam adat meminang, seandainya tepak sireh dihulur dan wakil atau keluarga pihak perempuan memakan sirehnya, ianya bermakna peminangan diterima, tetapi, sekiranya tepak sireh ditolak atau diterbalikkan, ianya bermakna peminangan tersebut tidak dipersetujui.

Kepentingan tepak sireh sebagai objek budaya di dalam kehidupan masyarakat Melayu dapat dilihat daripada seni pertukangan yang ditumpukan untuk menghasilkannya serta bahan-bahan yang digunakan seperti logam, perak dan kayu. Terdapat berbagai teknik yang digunakan untuk menghasilkan hiasan yang bermotif ke atas bahan-bahan tersebut seperti ukiran, tirisan dan sulaman. Biasanya, teknik ukiran akan digunakan ke atas kayu, manakala teknik ukiran, turisan dan tekan-timbul pula akan digunakan ke atas logam. Teknik sulaman pula sering digunakan di atas kotak tepak kayu yang dibalut dengan tekstil seperti kain baldu yang bersulamkan benang tekat. Motif hiasan di permukaan tepak sireh pula kebanyakannya terdiri daripada motif bunga-bungaan, awan larat, bentuk geometri dan motif kewilayahan Melayu.

Sebagai masyarakat berbangsa Melayu, kebanggaan terhadap objek budaya yang bukan sahaja cantik tetapi penting ini sebagai warisan turun-temurun yang penuh makna, haruslah disemaikan dan dikekalkan kewujudannya. Sayangnya, penggunaannya di upacara-upacara atau majlis-majlis rasmi pada masa kini dipandang remeh sebagai pembuka majlis dan kian hilang ditelan zaman. Di dalam majlis perkahwinan, penggunaannya sebagai ibu hantaran kini digantikan dengan sireh junjung / sireh dara sebagai penghulu hantaran.

Tepak sireh amat penting di dalam adat istiadat perkahwinan masyarakat Melayu kerana ianya menjadi lambang bahawa wakil keluarga pihak sebelah lelaki membawa hasrat untuk melamar wanita pilihan hatinya. Tepak sireh jika digunakan pada zaman sekarang adalah hanya sebagai pelengkap hantaran dan tidak lagi melambangkan peminangan diterima atau ditolak. Namun, kehadirannya sebagai menjunjung adat amatlah manis, tertib dan beradab, selaku lambang menghormati keluarga pihak perempuan di samping menyampaikan hajat yang dibawa.

Sememangnya, tidak ramai masyarakat Melayu zaman ini yang masih mengamalkan pemakanan sireh, namun demikian, ianya tidaklah bermakna penggunaan tepak sireh tidak lagi relevan di dalam adat istiadat perkahwinan sehingga dihilangkan kewujudannya sebagai objek budaya.

Berbagai teknik gubahan boleh digunakan untuk menghidupkan kembali budaya menggunakan tepak sireh di dalam majlis merisik, peminangan, pertunangan dan perkahwinan masyarakat Melayu. Bagi mereka yang berjiwa tradisional, tepak sireh boleh dihiasi dan diisi dengan bahan-bahan seperti sireh, pinang, kapur, gambir, tembakau dan cengkih yang juga berperanan sebagai satu bentuk pendedahan budaya warisan kepada generasi masa kini dan akan datang untuk dipelajari dan dihargai. (Sila baca maksud di sebalik ramuan-ramuan untuk memakan sireh ini di laman Gubahan Sireh Junjung / Sireh Dara kami)

Seandainya anda bimbang bahan-bahan tersebut akan terbazir kerana tidak ramai yang memakannya, bekas tepak sireh boleh digunakan hanya sebagai lambang dengan sama ada cembul-cembulnya beserta bekas tepaknya dibiarkan kosong atau diisi dengan bahan-bahan hiasan lain seperti bunga-bungaan. Tepak sireh juga boleh diisi atau dihiasi dengan bahan-bahan manisan seperti cokelat, gula-gula kekacang ataupun buah-buahan kering seperti kurma, kismis, tin dan sebagainya yang juga dikenali sebagai buah-buahan penenang kalbu dan boleh dinikmati sebagai pemanis, sebelum perbincangan bermula. Dengan dikelilingi daun-daunan sireh, bunga-bungaan segar dan buah pinang, pasti penampilannya akan lebih menarik.

Walaupun zaman telah berubah, adat dan budaya janganlah dilupakan dan perlulah dikekalkan dengan ciri-ciri pembaharuan yang menarik agar ianya terus kekal hidup. Segalanya bermula dengan diri kita. Ketahuilah bahawa apa yang menghalang penggunaan kembali tepak sireh sebagai pembuka bicara adalah imaginasi, kreativiti dan minda atau fikiran terbuka kita sendiri untuk kemungkinan tersebut. Sesungguhnya, bangsa yang mempertahankan budaya warisannya, adalah bangsa yang dihormati.

Dari itu, usahlah merisik, meminang, bertunang dan bernikah hanya dengan tangan kosong. Hidupkan semula adat tradisi menggunakan tepak sirih sebagai pembuka bicara kerana kehadirannya akan membuat majlis anda lebih berseri dan bermakna. Ianya pasti akan menjadi objek tumpuan dan perbualan atau conversation piece yang boleh membantu meringankan ‘suasana tegang’ sebelum penyampaian hajat sebenar disampaikan. Kami menyediakan khidmat menyewakan dan menggubah tepak sirih tembaga berukuran standard bersama kotak tepak sireh kayu kain baldu tradisional yang berwarna hijau dan merah yang bersulamkan benang tekat berwarna emas khas buat majlis istimewa anda.

Gubahan Tepak Sireh nurmajlis.com

Setiap Penyewaan Bekas Tepak Sireh Tembaga bersama Kotak Tepak Sireh Kayu Kain Baldu Tradisional Bersulamkan Benang Tekat termasuk Khidmat Gubahan Dari Kami. Terimakasih & Harap Maklum.

Sila layari laman *PORTFOLIO kami untuk melihat Gubahan Tepak Sireh…

Kembali Ke Atas

nurmajlis.com

Misi kami adalah untuk menyediakan beberapa perkhidmatan bagi menjayakan Majlis seperti Pertunangan, Perkahwinan serta Keramaian berskala sederhana demi menghidupkan warisan budaya dan adat tradisi Masyarakat Melayu di Singapura. Kami komited untuk menyinarkan Majlis anda, In Shaa Allah. 

Kenali kami

Laman Utama
Selamat Datang
Cerita Kami
Manfaat Tawaran
Portfolio
Harga & Pakej
Terma & Syarat

Soalan Lazim (FAQs)
Testimoni

Khidmat kami

Gubahan Tepak Sireh
Gubahan Cincin & Wang Hantaran
Gubahan Mas Kahwin/Mahar
Gubahan Barang Hantaran Bertema
Gubahan Bertema Budaya
Gubahan Kek & Manisan
Gubahan Pulut Kuning
Gubahan Masjid Cokelat
Gubahan Biskut, Cokelat & Gula-Gula
Gubahan Bunga, Buah & Sayur
Gubahan Hamper Makanan
Gubahan Sireh Junjung/Sireh Dara
Gubahan Bunga Pahar/Bunga Telur
Gubahan Bunga Rampai/Potpourri
Gubahan Bunga Tangan Pengantin
Perkhidmatan Reka Bentuk Grafik
Perkhidmatan Menghias Kamar
Perkhidmatan Menghias Kereta
Perkhidmatan Cenderahati/Doorgift
Perkhidmatan Sewaan Peralatan
Penghantaran/Pengambilan Kembali

Ikuti kami

  • Facebook
  • Instagram

Mari berinteraksi

Hubungi

Waktu operasi kami: Isnin hingga Ahad dari jam 11 pagi hingga 5 petang

Terimakasih Di Atas Masa Anda!

 

Hak Cipta Terpelihara © 2025 nurmajlis.com . Terma & Privasi