Assalamu’alaikum dan salam sejahtera… Kami ingin mengucapkan Selamat Datang ke laman sesawang kami, nurmajlis.com – sinar tradisi pada zaman kini.
Salam perkenalan…
Adat dan tradisi memberi hadiah barang hantaran di majlis pertunangan dan perkahwinan telah dipraktikkan sejak zaman dahulu lagi kerana banyaknya makna yang tersirat, justeru, ianya masih lagi dikekalkan oleh masyarakat Melayu zaman ini, termasuk di Singapura, walaupun sibuk meniti arus pemodenan yang kian pesat dan mengharungi keadaan dunia yang sentiasa berubah.
Namun begitu, pemodenan yang meliputi transformasi minda dan cara hidup serta kegunaan teknologi, memberi kesan terhadap corak kehidupan masyarakat Melayu termasuk cara mereka mempraktikkan budaya dan adat tradisi yang diubah suai mengikut trend dan citarasa semasa.
Pemodenan juga mewujudkan sebentuk kehidupan masyarakat Melayu yang secara amnya lebih gemar melakukan sesuatu dengan cara yang teringkas, terpantas, termudah dan tidak meremehkan. Ini termasuk memanfaatkan kegunaan sumber tenaga perkhidmatan yang terdapat dan ditawarkan di pasaran di dalam kehidupan mereka.
Di sinilah kami menghadirkan diri…
Masyarakat Melayu hari ini merupakan golongan profesional dan berkerjaya yang kebanyakannya lebih cenderung untuk menyerahkan persiapan majlis pertunangan, perkahwinan dan keramaian sepenuhnya kepada pembekal perkhidmatan majlis yang sedia ada. Ini disebabkan faktor masa dan tenaga kerja yang diperlukan untuk menjayakan majlis sebegini terutamanya di dalam konteks kehidupan masa kini.
Pengaruh Pemodenan Serta Globalisasi Di Dalam Budaya Dan Adat Istiadat Perkahwinan Melayu
Globalisasi telah membuat masyarakat Melayu lebih terbuka kepada pengaruh budaya asing di dalam kehidupan mereka, terutamanya dari Barat. Tarikan daripada budaya tersebut untuk mengadakan majlis perkahwinan di dewan, restoran, taman, resort atau hotel (bagi yang berkemampuan), bukan sahaja dianggap lebih mudah, menjimatkan tenaga kerja dan masa serta mengikut trend dan citarasa semasa, tetapi secara tidak langsung, meringkaskan majlis yang dahulunya penuh dengan adat istiadat.
Majlis perkahwinan yang biasanya diadakan selama sekurang-kurangnya tiga atau empat hari pada suatu ketika dahulu kini telah diringkaskan kepada sehari dua sahaja dan memakan masa hanya beberapa jam. Misalnya, trend untuk mengadakan upacara majlis akad nikah sehari serentak dengan majlis walimah semakin disukai ramai kebelakangan ini.
Apa yang mungkin ditakuti oleh sebahagian masyarakat Melayu yang masih lagi menitikberatkan dan berpegang teguh kepada adat tradisi turun-temurun adalah kesan daripada pengaruh sedemikian akan menggugat warisan budaya dan identiti unik masyarakat Melayu sehingga ianya ditinggalkan dan terus pupus.
Sejak akhir-akhir ini, ianya sudah pun mula dilihat dari cara segelintir masyarakat Melayu melanggar atau mengambil ringkas adat istiadat perkahwinan seperti meninggalkan adat merisik dan meminang yang dituntut agama kerana penuh hikmahnya, lalu terus bertunang, menggabungkan upacara meminang dan bertunang ataupun langsung bernikah tanpa bertunang.
Adat merisik sudah jarang-jarang dipraktikkan di zaman yang serba canggih ini kerana ramai teruna dan dara sudah pun saling mengenal. Sama ada ianya masih perlu dilakukan bergantung kepada tahap perkenalan antara keduanya. Kebanyakan mereka kini lebih cenderung untuk mencari pasangan hidup masing-masing serta merancang sendiri majlis pertunangan ataupun perkahwinan tanpa penglibatan sepenuhnya daripada kedua ibu bapa seperti masa dahulu.
Tidak hairanlah jika terdapat perbezaan di dalam cara adat tradisi diamalkan atau sesebuah majlis dikendalikan yang turut mengikut citarasa moden muda-mudi masa kini. Namun begitu, adat merisik merupakan satu adab yang manis dan tertib sebagai menghormati keluarga pihak perempuan sambil memberi peluang kepada kedua keluarga untuk berkenalan dengan lebih rapat.
Di dalam acara peminangan yang diamalkan pula, adat seni berbalas pantun yang memerlukan bakat berkomunikasi secara spontan kini kian tidak diutamakan, manakala adat menggunakan tepak sireh yang begitu simbolik tidak lagi dipraktikkan atau diberatkan. Lazimnya, akan ada kata sepakat seandainya wakil daripada kedua belah pihak tidak berkebolehan berbalas pantun, untuk tetap meneruskan perbincangan mengikut tertibnya adab bertamu yang berhajat sahaja. Namun demikian, sekiranya mereka mahir dan selesa untuk berbalas pantun, maka ianya akan diteruskan seperti sediakala.
Peminangan kini dianggap sebagai satu bentuk formaliti sahaja kerana biasanya, kehadiran rombongan daripada pihak lelaki sudah pun diketahui lebih awal oleh keluarga pihak perempuan yang sudah pun bersiap sedia dan bersetuju untuk menunaikan hajat mereka. Dengan ini, amalan menggunakan tepak sireh sebagai tanda peminangan diterima atau ditolak tidak lagi dipandang perlu atau relevan oleh masyarakat Melayu zaman ini.
Peredaran masa turut menyaksikan ramai yang tidak lagi mengadakan ketiga-tiga upacara istiadat berinai di pelaminan (iaitu berinai curi, berinai kecil dan berinai besar yang boleh memakan masa selama tiga hari), namun memilih untuk melaksanakan hanya satu atau dua peringkat sahaja jika diamalkan. Ada pula yang langsung tidak melakukan adat berinai atau meringkaskan cara perlaksanaannya.
Tradisi mengkhatamkan Al-Quran sebelum bernikah atau bersanding demi meraih keberkatan kini juga jarang-jarang disaksikan perlaksanaanya oleh sesetengah masyarakat Melayu. Ramai teruna dan dara hari ini memilih untuk bernikah pada usia yang matang kerana mementingkan pembelajaran serta mengejar kerjaya demi mengukuhkan kestabilan kewangan sebelum berumah tangga. Kebanyakan daripada mereka telah pun mengkhatamkan Al-Quran ketika usia muda. Oleh yang demikian, upacara mengkhatamkan lagi Al-Quran sebelum bernikah atau bersanding bergantung kepada tahap keselesaan masing-masing untuk melaksanakannya dan tidaklah menjadi satu kemestian memandangkan ianya bukanlah syarat sah pernikahan.
Jika lazimnya, akan diadakan majlis kesyukuran dan kenduri doa selamat sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan bagi memohon keselamatan dan kesejahteraan agar majlis serta perkahwinan mempelai diberkati dan dirahmati Allah SWT, sekarang pula, turut disediakan meja sambutan tetamu di mana terdapat sebuah Buku Tetamu atau Guest Book untuk mencatatkan ucapan “Selamat”, “Tahniah” dan doa / harapan yang terbaik atau Well Wishes buat mempelai. Ada juga yang menggunakan Pohon Ucapan atau Wishing Tree di mana ucapan akan ditulis di kad-kad yang disediakan lalu digantungkan pada pohon tersebut. Ini membolehkan kata-kata ucapan serta kesemua doa dan harapan terbaik buat mempelai dikumpulkan dan diabadikan buat tatapan dan kenangan.
Selanjutnya, adat istiadat merenjis atau menepung tawar boleh dikatakan semakin dilupakan atau hilang kerana amat sedikit sekali dilihat perlaksanaannya di majlis-majlis pernikahan pada masa kini. Sebaliknya, adat istiadat atau upacara ini digantikan dengan sesi bergambar mesra bersama ibu bapa daripada kedua belah pihak, ahli keluarga, saudara-mara, jiran tetangga dan sahabat handai sahaja sejurus selepas berlangsungnya majlis pernikahan. Lagu oleh Almarhum R. Ismail, ‘Direnjis-renjis Dipilis,’ yang amat cocok untuk didendangkan ketika upacara ini dilaksanakan, seperti hilang ertinya jika hanya didengarkan di majlis-majlis persandingan atau perkahwinan yang tidak mempraktikkannya.
Sehubungan dengan itu, semakin jarang-jarang kita melihat pengantin dibawa oleh juru andam atau pengapit untuk bertemu dan bersalaman dengan para tetamu jemputan seperti saudara-mara, terutamanya mereka yang berpangkat tua, sambil mendapat berkat doa restu dari mereka. Sebaliknya, kedua mempelai kini hanya duduk di pelaminan sambil menunggu para tetamu datang untuk bergambar, bersalaman dan menyampaikan ucapan tahniah kepada mereka.
Boleh dikatakan bahawa majlis perkahwinan masyarakat Melayu tradisional kini semakin hilang keasliannya seperti yang terlihat di dalam seleksi busana pengantin di mana selain daripada berpakaian tradisional raja sehari, busana moden berunsur Inggeris menjadi pilihan mempelai sebagai pakaian salinan. Selain itu, upacara memotong dan menyuap kek atau kek cawan serta perarakan yang diiringi anak-anak kecil berpakaian seragam yang membawa dan menabur bunga sepanjang laluan pengantin ke pelaminan juga menjadi ikutan. Ada pula yang menghiburkan para tetamu jemputan dengan persembahan slaid atau slideshow yang mengandungi video dan gambar-gambar pengantin melewati hari-hari mula berkenalan.
Mutakhir ini, masyarakat muda mudi Melayu telah dipengaruhi oleh satu lagi budaya Barat yang digelar Flash Mob iaitu satu pertunjukkan mengejutkan beramai-ramai bersifat luar biasa dan rawak yang dianggap unik. Budaya flash mob ini telah mula menjalar ke dalam majlis perkahwinan masyarakat Melayu di mana sekumpulan peserta akan berhimpun untuk membuat berbagai persembahan seperti menari secara beramai-ramai yang biasanya melibatkan penyertaan kedua mempelai.
Tema dan bentuk aksi persembahan adakalanya tidak bersesuaian untuk turut disertai oleh raja dan permaisuri sehari seperti tema menari rentak lagu Hindustan ala Bollywood, tarian-tarian popular Hollywood, hip hop dan sebagainya. Jika tidak dikawal, apa yang membimbangkan adalah kesantunan adat istiadat perkahwinan masyarakat Melayu boleh tercemar oleh pengaruh sebegini yang mengetepikan persembahan seni budaya buat pengantin seperti tarian tradisional, dikir barat ataupun silat.
Adat yang kini hilang adalah adat menyembah-nyembah atau bertandang kerumah-rumah saudara-mara terdekat seperti datuk, nenek, pakcik dan makcik oleh pengantin yang baru berumah tangga untuk memperkenalkan pasangan masing-masing dengan lebih dekat sambil membawa gambar-gambar perkahwinan untuk diberi sebagai cenderamata serta tanda terimakasih di atas kehadiran dan pertolongan yang dihulurkan untuk menjayakan majlis walimah mereka.
Sebagai tanda penghargaan, pasangan mempelai biasanya akan diberi hadiah perkahwinan diiringi doa restu dari mereka yang dikunjungi. Sayangnya, dewasa ini, masa yang diperuntukkan bagi tujuan ini telah digunakan sebaliknya untuk membuat persiapan berbulan madu sejurus selesainya majlis walimah. Hadiah kini diberi terus kepada pengantin atau dalam bentuk sumbangan wang kepada ibu bapa mempelai ketika majlis walimah diadakan.
Pengaruh globalisasi dan pemodenan yang dipandang sebagai kemajuan sedikit sebanyak telah menghakis dan mengubah adat tradisi dan budaya perkahwinan masyarakat Melayu dengan sama ada ianya diringkaskan atau dilupakan atau digantikan dan diubah suaikan dengan sesuatu yang lebih unik serta kontemporari di mana kebanyakannya berunsur Barat.
Sememangnya, untuk terus mempraktikkan adat tradisi di dalam majlis pertunangan, perkahwinan atau keramaian, memerlukan tenaga kerja yang banyak seperti gotong-royong, kemahiran, masa dan wang untuk mengelolakannya, terutamanya yang berkaitan dengan adat istiadat.
Sebagai contoh, upacara istiadat berinai di pelaminan memerlukan kerjasama sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai untuk menjayakannya. Oleh sebab kebanyakan majlis walimah kini lebih digemari untuk diadakan di lokasi lain yang berjauhan dari kediaman pengantin, upacara berinai yang berperingkat-peringkat dan yang boleh memakan masa selama tiga hari tidak atau jarang-jarang diamalkan sepenuhnya lagi memandangkan perlaksanaan majlis perkahwinan masyarakat Melayu masa kini semakin diringkaskan atau dipendekkan.
Pelaminan hanya dipasang di lokasi majlis diadakan sahaja untuk masa yang terhad dan bukannya di rumah pengantin. Tidak ramai yang memasang pelaminan kedua di rumah untuk tujuan ini, jika adapun, hanya pelaminan yang kecil dan ringkas sahaja untuk perlaksanaan berinai kecil. Fokus dan perhatian kebanyakannya ditumpukan kepada persediaan untuk upacara pernikahan dan majlis walimah sahaja di mana biasanya akan diadakan istiadat berinai besar serta menepung tawar sejurus selepas upacara akad nikah yang akan berlangsung di lokasi majlis.
Demikian situasinya dengan majlis walimah yang diadakan di kediaman pengantin. Walaupun ketiga-tiga peringkat istiadat berinai sesuai dan mudah untuk diadakan, namun, masyarakat Melayu hari ini lebih gemar memilih untuk meringkaskannya dan hanya mengamalkan satu atau dua peringkat sahaja kerana prosesnya yang agak rumit dan memerlukan kos perbelanjaan yang lebih seperti peralatan, bahan-bahan serta persalinan pakaian.
Tambahan pula, majlis walimah yang dipendekkan daripada tiga atau empat hari mulai petang Jumaat hingga ke petang Ahad pada satu ketika dahulu kepada hanya sehari dua pada masa kini iaitu petang Jumaat ke petang Sabtu atau petang Sabtu ke petang Ahad, tidak mengizinkan perlaksanaan kesemua peringkat adat istiadat berinai.
Di masa lalu, boleh disaksikan persalinan pakaian pengantin untuk upacara berinai sekurang-kurangnya sebanyak 5 atau 7 pasang. Hari ini, pengantin lebih gemar untuk mengenakan sepasang dua pakaian sahaja kerana ramai yang memilih untuk menyalurkan kelebihan wang yang ada bagi membayar kos perbelanjaan untuk menjayakan majlis walimah atau untuk berbulan madu.
Jikalau dahulu, tugasan masak-memasak, pasang-memasang, mengatur kerusi meja, mencuci pinggan mangkuk, membuat gubahan barang hantaran, sireh junjung / sireh dara, bunga pahar / bunga telur serta merebus telur yang kemudiannya dibungkus sapu tangan atau kertas kilat berwarna sebagai hadiah cenderahati buat para tetamu jemputan akan dilaksanakan oleh saudara-mara, jiran tetangga dan masyarakat dari golongan semua peringkat usia termasuk warga emas yang berpengalaman, kini ianya sukar diusahakan secara sedemikian lagi.
Sumbangan tenaga kerja atau budaya rewang secara bergotong-royong bagi membantu mengendalikan persiapan sesebuah majlis, yang secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan silaturrahim dan memupuk semangat muafakat melalui sikap saling bantu-membantu serta bekerjasama secara sukarela, adakalanya sukar dipraktikkan di dalam kehidupan masyarakat Melayu masa kini yang sentiasa sibuk dengan komitmen masing-masing dan kekurangan masa.
Kemajuan ekonomi telah mencetuskan budaya inovasi dan persaingan yang mementingkan pengejaran masa agar tidak ketinggalan. Ini menyebabkan ramai masyarakat Melayu menghabiskan sebahagian besar waktu mereka bekerja mencari rezeki serta mempertingkatkan diri untuk kekal relevan dan berdaya saing. Kemahiran-kemahiran yang diraih dapat membantu mempertingkatkan mutu kerja dan taraf tawaran kepelbagaian perkhidmatan yang mengubah gaya hidup.
Kesannya pada kegiatan gotong-royong untuk majlis yang memerlukan pengorbanan masa dan tenaga di dalam perlaksanaannya, mengakibatkan ianya kini sukar atau tidak diamalkan lagi oleh masyarakat Melayu umum. Terbentuknya kemahiran-kemahiran perkhidmatan yang khusus untuk melaksanakan sesuatu tugasan seperti mengendalikan majlis yang ditawarkan di pasaran, telah banyak mendorong masyarakat Melayu untuk memanfaatkannya untuk tujuan ini.
Pembangunan negara yang membawa perubahan pada landskap perumahan dan tempat tinggal rakyat dari kawasan kampung ke bandaraya turut memberi kesan kepada cara adat tradisi diamalkan oleh masyarakat Melayu setempat yang kini hidup bersama masyarakat berbilang kaum dan budaya.
Majoriti dari mereka kini tinggal di estet perumahan pangsapuri awam yang lebih dikenali sebagai rumah pangsa, blok atau flat di mana turut disediakan kolong atau dewan serbaguna berbumbung, khas untuk mengadakan majlis-majlis komunal. Ada juga yang turut dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan seperti kipas angin selain sumber air dan elektrik. Terdapat juga balai-balai rakyat di setiap estet perumahan yang menawarkan dewan-dewan untuk mengadakan majlis-majlis sebegini yang lebih canggih dan lengkap fasilitasnya tetapi dengan harga sewa yang agak tinggi berbanding dengan kolong-kolong blok atau dewan-dewan serbaguna kejiranan.
Tugasan bergotong-royong untuk memasang khemah untuk majlis tidak lagi diperlukan dan mungkin hanya untuk bahagian-bahagian tertentu sahaja seperti kawasan tempat masak-memasak, musollah atau sebagai sudut tambahan bagi meluaskan pekarangan majlis. Khidmat memasang khemah dan semua peralatan boleh didapatkan dari banyak pembekal perkhidmatan majlis jika diperlukan. Begitu juga dengan tugasan masak-memasak yang boleh didapatkan dari perkhidmatan katering yang menawarkan kemahiran perancangan menu untuk majlis-majlis rasmi melalui perlaksanaan yang profesional dan sistematik.
Sementara itu, khidmat menghias yang ditawarkan oleh perkhidmatan dekorasi majlis yang berkebolehan di dalam mentransformasikan sesebuah kolong blok atau dewan menjadi sebuah dewan jamuan bak istana yang menakjubkan lagi indah, telah membuat masyarakat Melayu menyerahkan tanggungjawab sepenuhnya kepada mereka yang mahir. Jelaslah bahawa setiap sudut tugasan yang diambil alih oleh kakitangan perkhidmatan majlis telah meringankan tanggungjawab tuan rumah serta mengurangkan perlunya untuk mendapatkan pertolongan atau sumbangan tenaga daripada saudara-mara, jiran tetangga dan masyarakat yang kian susah untuk dikerahkan dewasa ini.
Mengadakan majlis walimah di kediaman pengantin atau tuan rumah seperti di kolong blok, boleh dirasakan seperti lebih meriah dan bebas daripada di dewan rasmi kerana ianya seakan-akan suasana kampung di mana majlis diadakan di hadapan atau dalam situasi ini, di bawah rumah sahaja. Ianya mudah dihadiri kerana ketersediaan tempat meletak kereta dan adanya kemudahan pengangkutan awam.
Oleh sebab tiada kekangan masa bagi menyewa kawasan yang mesti dipatuhi untuk mengadakan majlis, tuan rumah tidak perlu terburu-buru mengejar waktu. Ini membolehkan para tetamu hadir di luar waktu rasmi majlis diadakan dan dilayan secara santai, baik di kediaman tuan rumah mahupun di kolong blok itu sendiri. Adanya tempat-tempat duduk dan meja-meja batu yang disediakan di sesetengah kolong blok serta sudut-sudut tempat beristirehat di kawasan persekitaran blok, ianya juga dapat memberi ruang untuk para tetamu berinteraksi atau bersembang.
Jumlah para tetamu yang diundang tidak terhad, oleh itu, sekiranya ada penduduk di kejiranan yang tidak dikenali atau diundang tetapi ingin turut hadir sambil menjamu selera, tuan rumah akan tetap menyambut mereka dengan tangan terbuka serta layanan mesra yang mencerminkan budaya identiti masyarakat Melayu. Jika berkesempatan, pasti seluruh penduduk di kejiranan ingin diundang seperti budaya mengadakan majlis di kampung! Namun demikian, kondisi sosialnya adalah berbeza.
Untuk mengadakan majlis walimah di kolong blok, terdapat juga batasan-batasan di dalam perlaksanaannya. Kehidupan di perumahan pangsapuri ada undang-undangnya yang tersendiri dan segala apa yang ingin dilakukan di sekitar kawasan umum kejiranan memerlukan kebenaran dari Majlis Bandaraya atau Town Council masing-masing. Kadar keriuhan ketika mengadakan sesebuah majlis ada hadnya dan masa-masa tertentu yang diizinkan. Begitu juga dengan kebersihan serta kegunaan kemudahan di kawasan awam, ada peraturannya.
Semangat rewang dan riuh-rendah bergotong-royong untuk menjayakan majlis oleh saudara-mara, jiran tetangga dan masyarakat tidak kelihatan lagi kerana perubahan pada cara kehidupan masyarakat hari ini. Kawasan tempat tinggal yang dikongsi dengan berbilang kaum yang berbeza adat telah mengubah sikap sosial masyarakat.
Polisi kerajaan untuk memupuk integrasi dan perpaduan masyarakat majmuk dengan mewujudkan jumlah penduduk berbilang kaum yang seimbang di setiap estet perumahan dan bangunan pangsapuri awam, telah menyebabkan lokasi-lokasi penginapan semua kaum termasuk masyarakat Melayu, didistribusikan di seluruh negara. Oleh sebab ini, jumlah masyarakat Melayu yang dasarnya bergolongan minoriti, yang menginap di sesebuah kawasan kejiranan, tidaklah begitu ramai. Bagi mereka yang tinggal di bangunan pangsapuri yang sama, tidak semua penghuni saling kenal mengenali kesemua jiran masing-masing, baik yang seadat dan seagama ataupun sebaliknya. Dengan itu, adalah tidak mustahil jika kebanyakan nama-nama jiran tetangga langsung tidak diketahui.
Hubungan berjiran biasanya lebih terjalin bersama jiran-jiran yang tinggal bersebelahan atau di koridor yang sama kerana sering berjumpa. Namun begitu, bagi mereka yang tinggal di tingkat atau aras yang lain, agak sukar untuk saling mengenal kerana jarang-jarang bersua muka. Tambahan pula, kebanyakan penghuni rumah pangsa lebih gemar menutup pintu rumah mereka kerana mahukan privasi dan tidak mahu diganggu oleh jurujual dari pintu ke pintu. Maklumlah, keadaan kehidupan di Singapura sentiasa sibuk dan merimaskan kerana terlalu sesak dengan orang ramai dan kurang ruang peribadi serta privasinya. Maka, tidaklah mudah mepupuk ikatan silaturrahim dan keselesaan pergaulan di antara atau sesama semua kaum untuk saling mengambil berat, bantu-membantu serta bekerjasama.
Di samping itu, keluarga yang berpindah keluar atau masuk juga sukar diketahui. Ketiadaan wakil-wakil blok atau sekumpulan sukarelawan yang menjaga hal ehwal masyarakat Melayu di kejiranan masing-masing turut menyukarkan kerja-kerja penyebaran maklumat kepada semua penduduk agar apa-apa kejadian yang berlaku ke atas sesebuah keluarga atau majlis-majlis kenduri yang bakal diadakan di kejiranan dapat dihadiri, dirancang dan dibantu perlaksanaannya bersama-sama secara bergotong-royong yang dapat mengeratkan hubungan silaturrahim.
Kesibukan menjalani kehidupan dan tugasan seharian serta menangani persaingan pesat dari masyarakat lain adalah di antara sebab atau alasan terjadinya ketiadaan masa untuk berkenalan, mengeratkan hubungan dan memupuk semangat kejiranan atau tradisi komunal masyarakat dahulu. Ramai yang memilih cara kehidupan yang privat dan mendahulukan kepentingan sendiri berbanding dengan keperluan umum. Akibatnya, terwujudlah pemikiran dan tingkah laku yang berbentuk individualistik yang secara tidak langsung, telah mempengaruhi dan mencorak pandangan masyarakat Melayu terhadap cara budaya dan adat tradisi dinilai dan diamalkan, terutamanya yang melibatkan kepercayaan dan pantang larang yang tidak begitu dititikberatkan lagi.
Seterusnya, turut diperhatikan bahawa terdapat sebahagian generasi masa kini yang tidak begitu cenderung, reti atau mahir untuk melaksanakan tanggungjawab mengadakan majlis yang melibatkan sama ada tugasan bergotong-royong mahupun adat tradisi yang dianggap tidak lagi moden dan relevan serta meremehkan, lalu tidak yakin atau berminat untuk mempelajari selok-beloknya dan memberikan sumbangan bantuan. Salah satu faktor adalah kurangnya pendedahan budaya. Ramai yang akhirnya menghadirkan diri pada hari berlangsungnya majlis hanya sebagai para tetamu jemputan sahaja, manakala tanggungjawab menyelenggarakan majlis diserahkan sepenuhnya kepada para pembekal perkhidmatan majlis yang sedia ada yang dapat menawarkan kepelbagaian kepakaran dan khidmat yang menarik.
Hasil inovasi dan bantuan teknologi juga telah mengurangkan perlunya kegiatan gotong-royong untuk majlis, di mana kaedah kendarat untuk menghidangkan makanan kepada para tetamu jemputan kini ditukar kepada cara bufet layan diri, yang menjanjikan seleksi menu makanan yang begitu bervariasi dan menyelerakan temasuk juadah pencuci mulut tradisional dan moden, buah-buahan serta berbagai minuman panas dan sejuk yang disediakan melalui perkhidmatan katering.
Perkhidmatan katering itu sendiri telah menjalani berbagai perubahan di dalam cara masakan disediakan. Ada pula yang menyediakan perkhidmatan juadah tambahan secara kreatif dengan melakukan demonstrasi memasak atau menyediakan makanan di hadapan para tetamu jemputan ala restoran seperti roti jala, putu piring, pisang goreng, satay, popcorn, aiskrim potong, kon, waffle dan sebagainya.
Kelengkapan perhiasan atau dekorasi majlis juga telah mengalami modifikasi dari segi kualiti dan pembikinan yang membuat tugasan pemasangan serta penanggalan begitu sistematik, pantas dan mudah tanpa memerlukan tenaga kerja yang ramai.
Namun demikian, kurangnya penglibatan sanak saudara, jiran tetangga dan masyarakat untuk mengendalikan sesebuah majlis perkahwinan melalui budaya rewang atau gotong-royong telah menghilangkan suasana kemesraan, kekeluargaan serta sentuhan kemanusiaan dan peribadi di dalam cara ianya diselenggarakan dan para tetamu dilayan mengikut tradisi adat Melayu.
Trend yang tidak membantu keadaan ini adalah kecenderungan sesetengah masyarakat Melayu hari ini untuk menggabungkan majlis walimah bagi kedua buah keluarga pengantin di satu lokasi dewan yang sama di mana ianya turut membuat sesuatu majlis walimah menjadi semakin hilang sifat keakraban, persaudaraan dan persahabatannya. Dengan menggabungkan kedua majlis di bawah satu bumbung yang sama, ianya bermakna jumlah tetamu yang dapat dijemput dari kedua belah pihak menjadi terhad kerana ketidakcukupan tempat.
Tidak dinafikan bahawa gabungan sebegini menjimatkan kerana ianya membolehkan kos perbelanjaan majlis dikongsi oleh kedua buah keluarga, acara majlis dapat dinikmati bersama dan adakalanya ianya memberi kesempatan untuk berjumpa kembali kenalan lama yang hadir untuk majlis jemputan pihak sebelah. Namun demikian, tidak semua wajah-wajah yang dilihat dan ditemui di majlis adalah mereka yang dikenali.
Walaupun ini membuka peluang untuk menjalinkan persahabatan baru, tidak semua berasa selesa untuk saling berkenalan di dalam situasi sebegini dan ramai yang lebih gemar untuk terus pulang selepas menjamu selera. Kekurangan tempat dan jumlah kerusi meja yang terhad turut menyebabkan ramai yang tidak berkesempatan untuk duduk bersembang semeja kerana perlu memberikan peluang kepada tetamu yang baru datang untuk menjamu selera.
Hal ini menyebabkan sesebuah majlis walimah menjadi kurang ciri-ciri kemesraan dan kekeluargaannya kerana tidak semua yang dikenali dapat dijemput hadir. Kurangnya seri kemeriahan yang dirasakan pasti akan menjejas perasaan mereka yang hadir dan bentuk kenangan yang dibawa pulang.
Mengimbangi Adat Tradisi Dan Warisan Budaya Seiring Dengan Arus Pemodenan Masa Kini
Pemodenan yang merangkumi transformasi minda dan cara hidup serta kegunaan teknologi, jika diasimilasikan dan digabungkan secara kreatif bersama adat tradisi dan warisan budaya orang Melayu, sebenarnya dapat mengekalkan kewujudannya dan membawanya ke era yang baru. Ianya penting untuk generasi sekarang dan akan datang supaya warisan budaya dan identiti masyarakat Melayu akan terus hidup.
Misalnya, dengan mereka gubahan barangan hantaran yang bertemakan kraf tangan budaya ataupun tekstil tradisional Melayu seperti seni songket, pelekat dan batik, kita dapat mengetengahkan unsur-unsur budaya yang membentuk identiti masyarakat Melayu yang unik lagi indah dan unggul.
Ini bukan sahaja dapat memberikan satu gambaran kepada generasi masa kini dan akan datang tentang ideologi serta cara pemikiran masyarakat Melayu yang tersirat di dalam seni tekstil tradisional, malah ianya secara tidak langsung, dapat menimbulkan rasa penghargaan dan kebanggaan terhadap seni warisan turun-temurun serta membangkitkan semangat untuk terus mempertahankan kewujudannya.
Jika gaya gubahan masa kini yang lebih mempamerkan rekaan moden berbentuk ringkas, abstrak dan korporat dapat digabungkan bersama ciri-ciri tradisional budaya masyarakat Melayu, pasti hasil persembahannya adalah sesuatu yang amat kreatif, menarik dan lebih bermakna apalagi jika ianya digabungkan bersama aksesori berkaitan yang simbolik serta alami.
Akan lebih bermakna juga sesuatu majlis seandainya adat membawa tepak sireh sebagai pembuka bicara di upacara majlis merisik, peminangan, pertunangan dan pernikahan yang melibatkan acara seni berbalas pantun masih diteruskan zaman ini. Tepak sireh merupakan simbol komunikasi yang tidak melibatkan kata-kata tetapi kehadiran dan kegunaannya di dalam upacara adat istiadat Melayu penuh makna.
Sungguhpun tepak sireh kini lebih berfungsi sebagai pelengkap hantaran dan tidak lagi dijadikan simbol peminangan diterima atau ditolak, penggunaannya sebagai lambang wakil sebelah pihak lelaki membawa hasrat untuk melamar wanita pilihan hatinya amatlah sesuai, beretika, tertib dan sopan untuk dijadikan amalan oleh generasi masa kini dan akan datang sambil mengekalkan adat istiadat turun-temurun.
Sekiranya penggunaan tepak sireh digabungkan dengan adat seni berbalas pantun, kombinasi cara berkomunikasi yang berbeza ini sebagai penyampaian maksud atau hajat akan membuat sesuatu upacara menjadi lebih indah dan menarik. Amatlah sayang jika kemahiran berbalas pantun dimiliki oleh hanya segelintir masyarakat Melayu sahaja yang masih mempercayai dan menghargai kepentingannya sebagai seni warisan budaya yang perlu dipertahankan.
Agak lama dipuput bayu
Muncul ribut menyerang kebun
Apa guna berbangsa Melayu
Kalau tidak tahu berbalas pantun
Jika tradisi seni berbalas pantun bukan sahaja dapat diamalkan di dalam upacara adat istiadat tetapi diterapkan juga penggunaannya oleh pengacara majlis atau emcee baik di dalam tutur bicara atau melalui acara hiburan yang melibatkan para tetamu jemputan untuk mengambil bahagian seperti permainan berbalas pantun misalnya, pastilah kegunaannya dapat dinikmati oleh para hadirin dari semua peringkat usia.
Pengacara majlis juga boleh memainkan peranan sebagai duta atau wakil budaya di mana adat istiadat perkahwinan masyarakat Melayu diterangkan signifikasi serta nilai-nilainya melalui kata-kata, persembahan atau video. Acara sebegini merupakan satu bentuk pendidikan budaya yang mendedahkan masyarakat Melayu kepada bukan sahaja kehalusan seni pantun tetapi adat tradisi yang kian hilang ditinggalkan dan pasti akan menyemarakkan lagi suasana majlis.
Secara tidak langsung, seni berbalas pantun dapat dihidupkan semula di dalam kalangan generasi masyarakat Melayu masa kini, terutamanya muda-mudi, yang kebanyakannya lebih selesa bertutur di dalam bahasa Melayu dan Inggeris yang bercampur, ekoran daripada sistem pendidikan dwibahasa dan pengaruh media massa. Bahasa Inggeris lebih kerap digunakan kerana ianya merupakan bahasa pilihan bagi semua bidang dan lapangan, bahasa yang menghubungkan masyarakat majmuk setempat dan bahasa yang sering digabungkan penggunaannya dengan bahasa Melayu apabila dipaparkan melalui media massa.
Di dalam kalangan masyarakat dewasa pula, ianya ditambah dengan perkataan-perkataan bahasa Arab yang semakin gemar digunakan untuk menggantikan perkataan-perkataan bahasa Melayu. Apa yang menghairankan adalah masyarakat Inggeris dan Arab tidak pula berminat untuk menggunakan perkataan-perkataan bahasa Melayu ketika berbicara sesama sendiri di dalam bahasa ibunda masing-masing! Sememangnya agak janggal untuk menggunakan perkataan-perkataan dari bahasa asing apabila bertutur bersama mereka yang sekaum, sebahasa dan seadat terutamanya bagi penutur-penutur asli bahasa tersebut.
Bahasa Melayu berperanan menanam nilai murni di dalam jiwa orang Melayu. Pengunaan bahasa Melayu yang baik mestilah dilestarikan di dalam kehidupan seharian, baik di dalam tutur bicara mahupun lisan, kerana ianya merupakan pengantara dan saluran utama di mana warisan budaya dan adat tradisi boleh disebarkan dan dipertahankan serta jati diri dikukuhkan. Lemahnya jati diri ada kaitannya dengan pandangan negatif terhadap bahasa Melayu yang dilihat sebagai rendah martabatnya kerana ianya dipelajari sebagai bahasa kedua. Bahasa membentuk jati diri dan karakter sesebuah bangsa. Menjaga budaya bermakna menjaga bahasa, begitu juga sebaliknya. Keduanya akan layu seandainya masyarakat Melayu tidak menghormati bahasa sendiri dan berasa segan untuk bertutur di dalam bahasa ibunda yang sejati apabila berpeluang untuk melakukannya. Lagipun bukankah “Bahasa Jiwa Bangsa?” Daripada bahasa, orang dapat mengenal kita dan tanpa bahasa, jiwa bangsa kita akan mati.
Dalam pada itu, persembahan sketsa atau visual melalui video yang bertemakan budaya bergotong-royong masyarakat Melayu dahulu di dalam menjayakan majlis perkahwinan boleh turut disertakan sebagai salah satu acara hiburan dan pengetahuan. Ini membolehkan saudara-mara, jiran tetangga dan masyarakat yang hadir dan tunggu sehingga ke akhir majlis walimah dihimpun serta diajak untuk menyumbangkan bantuan tenaga bagi mengemas dan membersihkan kawasan majlis diadakan.
Meskipun ada yang akan mengatakan tugasan ini pasti bakal dilakukan oleh pembekal perkhidmatan majlis yang akan menanggalkan dan mengemas sendiri barang-barang mereka, tidaklah salah jika masyarakat turut membantu mana yang patut seperti mengumpul dan menghimpun kesemua kerusi meja majlis ke satu sudut, menyapu, membuang sampah, membungkus lebihan makanan untuk diagihkan, membawa barangan kepunyaan pengantin dan tuan rumah kembali ke kediaman mereka dan sebagainya. Tidak salah juga sekiranya pengantin turut turun padang untuk sama-sama membantu untuk menutup majlis.
Dengan menyumbangkan bakti di dalam majlis yang dihadiri, ianya pasti akan menjalin kemesraan dan mengukuh ikatan silaturrahim di antara mereka yang hadir dengan tuan rumah. Peluang untuk melakukan sesuatu yang bermanfaat tentu akan mendatangkan perasaan kegembiraan dan kepuasan di dalam sanubari mereka yang melaksanakannya. Ianya juga membuatkan kehadiran di dalam sesebuah majlis lebih bermakna, bukan setakat menyahut undangan dan menjamu selera.
Sejak dahulu, masyarakat Melayu menaruh nilai yang cukup tinggi kepada adat tradisi dan warisan budaya kerana pengaruhnya terhadap kehidupan. Ianya merupakan satu pedoman atau petunjuk yang merangkumi semua aspek kehidupan agar dapat dijalani dengan baik dan sempurna. Ini menyebabkan mereka begitu menghormati dan berpegang teguh kepada adat tradisi sehingga terciptanya berbagai peribahasa berkaitan ‘adat’, termasuklah,
“Biar mati anak, jangan mati adat.”
Sekilas pandang, ianya membawa maksud satu pegangan yang agak keras dan kejam oleh masyarakat Melayu dahulu yang kuat kepercayaannya terhadap adat sehingga ianya dianggap lebih penting dan berharga daripada nyawa darah daging sendiri. Namun sebenarnya, ianya tercipta dari pepatah Aceh iaitu,
“Mati anak ada kuburnya, hilang adat, mana hendak digantikan.”
Pastinya, kehilangan yang amat menyayukan hati bagi keduanya.
Setiap perjalanan hidup ada garis pandu atau tata cara tersendiri yang mengawal cara ianya ditempuhi termasuk perkahwinan. Makanya, amatlah sayang jika ianya hilang begitu sahaja kerana ianya sememangnya cukup indah, menyentuh hati dan penuh dengan makna serta simbolisme. Adat istiadat merisik, meminang, bertunang, bernikah, berinai, merenjis atau menepung tawar, bertandang, bersanding, makan beradab, persembahan kompang / hadrah, silat, dikir barat dan tarian tradisional bak hiburan diraja khas buat menghormati pengantin, semuanya mempunyai keistimewaan tersendiri yang mencorak identiti masyarakat Melayu dan membezakannya daripada masyarakat lain. Budaya gotong-royong itu sendiri amat signifikan di dalam memupuk nilai-nilai murni hidup bermasyarakat.
Walau bagaimanapun, kesantunan adat istiadat perkahwinan masyarakat Melayu haruslah dijaga rapi demi generasi masa kini dan akan datang agar tidak dicemari atau dicerobohi oleh pengaruh dari luar. Ini berlaku akibat keghairahan sesetengah masyarakat Melayu hari ini terhadap budaya asing sehingga ianya turut diikuti dan diserapkan ke dalam majlis-majlis bermakna yang penuh kebudayaan dan adat istiadat seperti majlis perkahwinan.
Majlis yang mengikut dan mematuhi adat istiadat perkahwinan Melayu sememangnya memberi kesan yang mendalam di dalam sanubari semua yang hadir untuk menikmatinya. Ini bukan sahaja kerana jauh di lubuk hati, ianya dikenali dan diakui sebagai adat turun-temurun yang mengingatkan tentang asal usul, malah ianya turut menimbulkan satu perasaan kerinduan yang terbuku terhadap warisan budaya yang sudah jarang-jarang lagi dapat dinikmati atau dijadikan sebahagian hidup di masa kini.
Bangsa-bangsa lain amat kagum dengan persembahan-persembahan kebudayaan Masyarakat Melayu yang memaparkan warisan budaya dan adat tradisi. Ini jelas kelihatan dari cara mereka cuba mengambil bahagian, memetik gambar atau merakam video persembahan-persembahan tersebut. Sememangnya sudah menjadi lumrah manusia untuk berbuat demikian apabila melihat sesuatu yang berlainan atau berbeza daripada budaya sendiri demi mengabadikan pengalaman mereka. Kita juga pastinya akan berkelakuan serupa apabila ke negara orang dan menikmati persembahan-persembahan kebudayaan bangsa-bangsa lain. Apa yang mengharukan adalah terdapat di antara mereka yang terlalu mengagumi dan menghargai adat istiadat perkahwinan Masyarakat Melayu sehingga mereka bersungguh-sungguh mengikutinya untuk majlis perkahwinan mereka sendiri walaupun mereka beserta pasangan masing-masing bukan berbangsa Melayu! Dari itu, amat sayang sekali jika Masyarakat Melayu sendiri yang menjadi punca berlakunya warisan budaya dan adat tradisi Masyarakat Melayu terpupus dan hilang begitu saja.
Yang penting, adat tradisi yang terus diamalkan tidak bercanggah dengan agama Islam dan dilakukan berlandaskan nawaitu yang betul. Ini boleh dicapai dengan mempelajari serta memahami rasional, objektif atau motivasi yang mendorong sehingga terciptanya sesebuah adat istiadat agar penilaian serta ubah suaian boleh dilakukan. Ini membolehkan ciri-ciri yang dianggap khurafat serta melanggar syariat Islam dikenal pasti dan diubah suai atau ditinggalkan manakala intipati simboliknya sahaja yang diambil bagi memastikan adat tradisi yang dilaksanakan tetap mencapai hasrat dan maksud yang diinginkan.
Kedatangan Islam adalah untuk menyempurnakan adat, bukan menghilangkannya dan kerana inilah ianya mudah tersebar dan diterima di seluruh dunia. Setiap kaum dan agama ada adat istiadatnya masing-masing dan adakalanya ianya seakan-akan menyerupai antara satu dengan yang lain. Akan tetapi, ianya tidaklah bermakna pengertian dan maksud di dalam amalannya adalah sama.
Sesebuah adat yang menyerupai amalan pengikut agama lain, yang turut dikenali sebagai tasyabbuh, tidak secara mutlak dihukumi haram kecuali ianya merupakan perbuatan yang tercela menurut syarak dan pelakunya bermaksud untuk menyerupai pengikut agama lain sepertimana yang diterangkan di dalam ilmu fiqih.
Contohnya, adat membaca doa sebelum dan sesudah makan atau minum dipraktikkan oleh para penganut agama Islam dan Kristian. Bagi umat Islam, ianya telah diamalkan sejak zaman Rasulullah SAW dan para ulama salaf. Umat Islam membaca Basmallah, doa kesyukuran kepada Allah SWT, lalu mengameenkannya sebelum menjamu selera dan mengakhirinya dengan ucapan ‘Alhamdulillah’ beserta doa kesukuran sesudah makan. Umat Kristian pula membaca doa kesyukuran yang dipanggil grace kepada God atau Tuhan kepercayaan mereka, menutupnya dengan bacaan Amen sebelum bersantap dan membaca grace sekali lagi setelah selesai. Namun demikian, doa yang dibacakan berbeza dari sudut tauhid, iaitu isinya dan kepada yang dituju. Oleh itu, haruskah para penganut agama Islam berhenti adat membaca doa sebelum dan sesudah makan dan minum hanya kerana ianya menyamai amalan agama Kristian? Tentunya tidak.
Sewajarnya harus dikekalkan acara adat istiadat perkahwinan masyarakat Melayu demi meneruskan warisan budaya turun-temurun sekiranya apa yang diamalkan bukanlah perbuatan yang tercela menurut syarak dan tidak membawa sebarang makna atau pengertian yang menyerupai budaya atau agama lain serta maksud atau keyakinan tertentu, kecuali ianya hanya bertujuan untuk melahirkan tanda kegembiraan dan doa restu dari ahli keluarga terdekat, sanak saudara serta masyarakat yang melaksanakannya.
Ini termasuk adat istiadat merenjis atau menepung tawar yang sentiasa diperbahaskan dan menjadi bahan kontroversi. Pastinya, ramai tetamu dari golongan muda-mudi sekarang ini yang teringin untuk belajar dan turut diberi giliran untuk mencuba melaksanakan upacara ini untuk meraikan pengantin sambil mendoakan keberkatan buat mempelai. (Pihak kami di nurmajlis.com ada menawarkan khidmat sewaan peralatan Set Tepung Tawar untuk memeriahkan majlis anda.)
Hukum Menepung Tawar oleh Ustaz Abdul Somad Lc. MA
Dengan berlandaskan syariat dan aqidah Islam, secara tidak langsung sesebuah adat tradisi itu dapat terus diamalkan dengan selamat sambil mengekalkan kemeriahan upacara perkahwinan masyarakat Melayu yang kaya dengan adat istiadat. Barulah sesuai dengan pepatah, “Adat dikendong, Budaya disanjung, Agama dijunjung.”
Menanam kelapa di pulau Bukum
Tinggi sedepa sudah berbuah
Adat bermula dengan hukum
Hukum bersandar di Kitabullah
∞ ∞ ∞ ∞ ∞ ∞ ∞
Lebat daun bunga tanjung
Berbau harum bunga cempaka
Adat dijaga pusaka dijunjung
Baru terpelihara adat pusaka
Di nurmajlis.com, kami percaya bahawa pemodenan bukanlah sesuatu yang menggugat kedudukan warisan budaya dan adat tradisi, malah ianya berpotensi untuk memberi perspektif dan nafas baru yang unik lagi menarik. Apa yang harus ditekankan di sini adalah pemodenan bukanlah pembaratan kerana keduanya adalah konsep dan perkara yang berbeza.
Pemodenan merupakan suatu transformasi dari aspek kehidupan masyarakat yang melibatkan proses perubahan sosial dan budaya yang positif dengan tidak atau semestinya meniru gaya hidup kultur asing. Ianya yang meliputi inovasi dan kemajuan teknologi, telah banyak merubah kualitas hidup dan kesejahteraan masyarakat sejagat kepada yang lebih baik walaupun terdapat juga kesan sampingan yang turut dibawa. Terpulanglah kepada masyarakat Melayu masa kini untuk membentuknya serta menyerapkan dan menyesuaikannya dengan warisan budaya tradisional, begitu juga sebaliknya agar keunikkan identiti tetap terpelihara.
Kehadiran dan pengaruh pemodenan juga tidak boleh ditolak demi memperjuangkan kewujudan warisan budaya dan adat tradisi semata-mata. Budaya, yang meliputi keseluruhan cara hidup itu sendiri, bersifat dinamik dan semestinya mengalami perubahan dan penyesuaian bagi keperluan masyarakat semasa. Jika adat tradisi dikompromi atau ditinggalkan tanpa penyesuaian dengan peredaran masa, lama-kelamaan ianya akan hilang begitu sahaja dan akhirnya hanya akan menjadi kenangan dan bahan pameran / artefak tetap di Muzium Budaya, Pusat Taman Warisan Melayu Singapura!
Dari itu, pemodenan dan pengekalan nilai-nilai luhur tradisional masyarakat Melayu adalah sesuatu yang harus kita usahakan, ketengahkan serta pertahankan demi memelihara warisan budaya dan identiti masyarakat Melayu. Pastinya, ianya memerlukan persetujuan, sokongan dan kesungguhan usaha dari semua pihak untuk membawanya ke tahap yang baru agar generasi masa kini dan akan datang tidak berasa seperti terperangkap di dalam adat yang usang. Hal ini demikian kerana kurangnya pengetahuan warisan budaya, bak kata pepatah,
“Tak kenal maka tak Cinta.”
Pendidikan dan pendedahan kepada warisan budaya dan adat tradisi melalui berbagai program amatlah perlu untuk mengamati keistimewaannya sambil menanggani kekeliruan, kekurangan fahaman dan pandangan rendah terhadap nilai yang dipegang oleh warisan budaya sendiri. Ini penting untuk menanamkan perasaan kagum, bangga, hormat dan cinta terhadap warisan budaya dan adat tradisi sehingga terbinanya jati diri serta maruah yang lebih kukuh dan tidak mudah goyah apabila berhadapan dengan tekanan atau pengaruh dari luar.
Dengan ini, masyarakat Melayu tidak akan mudah tertarik untuk meniru budaya asing dan menganggapnya sebagai lebih maju, moden dan menarik kerana budaya sendiri sudah cukup indah, mempesonakan dan membanggakan untuk terus diamalkan, diraikan serta dikongsikan bersama.
Akhir kata, adat tradisi masyarakat Melayu haruslah dikekalkan dengan gabungan unsur-unsur pemodenan agar ianya tetap relevan, menarik dan tidak lapuk dik zaman. Yang penting, ianya akan terus hidup bersama ciri-ciri pembaharuan yang secara tidak langsung dapat mempertahankan keunikan dan kewujudan tradisi tersebut.
Sesungguhnya, perkahwinan tradisional memiliki keistimewaan tersendiri yang penuh peradaban serta kesucian sementara perkahwinan masa kini menjanjikan sesuatu yang moden dan romantis. Apabila digabungkan kedua-dua elemen tersebut di dalam perlaksanaan sesebuah majlis atau tema dengan menggunakan berbagai gaya, daya kreativiti, teknik rekaan dan persembahan yang simbolik, maka akan lebih berseri dan bermakna sesebuah majlis pertunangan atau perkahwinan. Dengan diberikan sentuhan ‘nur’ (cahaya), majlis anda akan lebih bersinar mengikut citarasa zaman kini, In Shaa Allah.
Kami mungkin kecil, tetapi adalah pembekal perkhidmatan majlis yang berdedikasi, bersemangat dan komited berlokasi di Singapura. Kami memudahkan tugasan dengan menyediakan beberapa perkhidmatan untuk mengadakan dan menjayakan majlis seperti pertunangan, perkahwinan dan keramaian.
Buat Renungan Bersama:
- Kisah-kisah Bangsa-bangsa Lain Mengikut Adat Istiadat Perkahwinan Masyarakat Melayu Kerana Mengagumi & Menghargai Nilai-nilai Murni Serta Keistimewaannya. Mengapa Tidak Kita? … Sila Klik
- Isu Majlis Perkahwinan Melayu Sekarang: Diberi Nafas Baru Ataupun Penghakisan Budaya? – berita.mediacorp.sg … Sila Klik
- Hampir 90% Berpendapat Perkahwinan Melayu Banyak Dicemari Unsur Luar – berita.mediacorp.sg … Sila Klik